Seorang lelaki menunggu bantuan untuk memindahkan seorang mangsa yang terbunuh dalam serangan roket di Mariupol, Ukraine kelmarin. – AFP
KIEV 25 Jan. – Sekurang-kurangnya 30 orang maut apabila beberapa siri serangan roket dilancarkan di bandar pelabuhan Mariupol yang masih dikawal kerajaan Ukraine.
Ukraine menyatakan, serangan itu dilancarkan pemberontak pro-Rusia, namun dinafikan kumpulan tersebut yang mendakwa tentera Kiev sendiri yang melakukannya.
Pejabat Datuk Bandar Mariupol berkata, sebanyak 97 orang turut cedera dalam serangan roket jarak jauh itu yang mengenai kawasan perumahan, pada awal pagi dan tengah hari semalam.
“Semua orang di bandar ini sangat takut,” kata seorang penduduk bernama Eduard kepada AFP.
Seorang lagi penduduk, Pavlo menyatakan, mereka yang terselamat membantu mangsa cedera yang terperangkap dalam runtuhan pangsapuri.
Agensi berita Rusia, RIA Novosti melaporkan, pemimpin Republik Rakyat Donestk, Alexander Zakharchenko berkata, pihaknya melancarkan serangan terhadap Mariupol.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, beliau menafikan bertanggungjawab terhadap kematian penduduk awam tersebut dan menyatakan kenyataannya tidak merujuk kepada serangan roket itu.
Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk segera meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Rusia berikutan kemaraan kumpulan pemisah itu ke bandar yang menyokong Kiev.
Presiden Ukraine, Petro Poroshenko pula mengadakan pertemuan khas Majlis Pertahanan dan Keselamatan Nasional semalam ekoran serangan tersebut.
“Kami menyokong keamanan, namun tidak akan berdiam diri. Kami akan mempertahankan negara sehingga mencapai kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP
No comments:
Post a Comment