Monday, January 26, 2015

Pemberontak Ukraine umum serangan besar-besaran



Anggota perkhidmatan Ukraine membuat rondaan di sekitar sebuah bangunan yang rosak selepas serangan di bandar pelabuhan Ukraine selatan Mariupol, hari ini. Menurut pejabat Datuk Bandar, sekurang-kurangnya 30 orang meninggal dunia dalam serangan roket ke atas pelabuhan strategik kerajaan Ukraine selepas pemberontak menolak rundingan damai. - Foto AFP
MARIUPOL (Ukraine): Pemberontak pro-Kremlin di timur Ukraine hari ini mengumumkan satu serangan besar-besaran dilakukan selepas bedilan roket yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang di bandar pelabuhan Mariupol semalam.
Susulan serangan roket itu, masyarakat antarabangsa mendesak agar Moscow segera menamatkan sebarang sokongan dan bantuan terhadap puak pemisah Ukraine itu.
Pegawai Datuk Bandar Mariupol berkata, dalam serangan itu 97 orang dilaporkan cedera apabila berpuluh roket jarak jauh dilancarkan ke bandar strategik itu.
Serangan pada awal subuh itu di daerah yang padat penduduk itu kemudian diulangi pada sebelah petang.
"Keadaan sekarang semua penduduk di bandar ini amat takut," kata seorang penduduk Mariupol.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Pavlo memberitahu, berpuluh penduduk yang terselamat segera memberi bantuan kepada mereka yang cedera dari runtuhan dinding konkrit sebuah pangsapuri era Soviet.
"Hari ini kita melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Mariupol," demikian menurut akhbar Russia, RIA Novosti memetik ketua pemberontak Republik Donetsk, Alexander Zakharchenko.
"Namun kita akan menambah serangan ini beberapa jam lagi kerana pasukan kami serang mengumpulkan kekuatan untuk melakukan operasi lebih aktif di Mariupol," kata Zakharchenko dipetik sebagai berkata.
Namun, timbalan Zakharchenko menafikan bertanggungjawab atas kematian orang awam dan memberitahu kenyataan Zakharchenko itu tidak merujuk kepada serangan roket berkenaan. - AFP

No comments:

Post a Comment