JUMAAT, 16 JANUARI 2015 @ 9:03 AM
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini memansuhkan sekatan perjalanan dan perniagaan ke atas Cuba, sekali gus menandakan hubungan semakin baik kedua-dua negara sejak era Perang Dingin lalu.
Bagaimanapun sekatan membabitkan pelancongan masih ditegah, namun beberapa kategori perjalanan membabitkan rakyat Amerika ke Cuba dibenarkan antaranya membabitkan wartawan, ahli akademik, artis dan atlet dengan syarat yang semakin longgar.
Pengembara Amerika ke Cuba kini boleh menggunakan kad kredit dan debit AS di Cuba serta dibenar membawa pulang nilai barangan sehingga AS$400 termasuk minuman keras dan cigar Cuba bernilai sehingga AS$100.
Rakyat Cuba yang tinggal di Amerika pula akan dibenar menghantar wang ke negara mereka walaupun sekatan perdagangan Amerika masih lagi berkuat kuasa.
"Pengumuman hari ini adalah satu lagi langkah baharu untuk menggantikan dasar yang sudah lapuk dan tidak boleh lagi dilaksanakan dan dalam asas untuk membantu kebebasan politik dan ekonomi rakyat Cuba," kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Jacob Lew.
Langkah pemansuhan itu turut membabitkan perkhidmatan telekomunikasi dengan Cuba dan kebenaran untuk mengeksport perisian komunikasi dan perkhidmatan berkaitan.
"Perubahan ini membolehkan rakyat Amerika menghulurkan lebih banyak sumber kepada populasi Cuba untuk lebih kukuh dalam menghadapi dunia ekonomi dan membantu kepada peningkatan hubungan dua hala rakyat," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Josh Earnest.
Pada 17 Disember lalu, Presiden Barack Obama dan Presiden Cuba, Raul Castro mengumumkan perjanjian bersejarah membuka kembali hubungan kedua-dua negara yang tegang sejak lebih 50 tahun. - AFP
No comments:
Post a Comment