Sunday, January 11, 2015

Dua Beradik Anak OKU Terpaksa Berbaju Biasa Ke Sekolah


Diterbitkan: Ahad, 11 Januari 2015 1:50 PM
Sebahagian murid diberi kelonggaran untuk memakai baju biasa berikutan banjir yang melanda rumah mereka baru-baru ini.

DUNGUN: Dua beradik anak pasangan Orang Kurang Upaya (OKU) terpaksa memakai pakaian biasa pada hari pertama persekolahan pada Ahad selepas rumah mereka musnah akibat banjir baru-baru ini.
Menurut dua beradik itu, Siti Aisyah Kamaruddin, 11, dan adiknya Azim Aluwi, 8, ibu bapa mereka yang bisu tidak mampu membeli pakaian sekolah yang baharu kerana miskin.
"Saya tak dapat nak pakai baju sekolah macam kawan-kawan lain sebab baju lama saya dengan adik dah tak boleh pakai (rosak dan koyak akibat banjir)...baju baharu pula ayah tak dapat beli lagi.
"Ayah dengan mak bisu...ayah kerja menoreh getah orang dan mak tak kerja...mak bagitau pakai baju biasa dulu," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Pasir Raja di Hulu Dungun, Ahad.
Anak gadis pasangan Kamaruddin Ibrahim dan Fauziah Omar itu berkata, pakaian seragam sekolah lama mereka tidak dapat digunakan kerana rosak dan koyak akibat banjir.
Biarpun tidak memakai pakaian sekolah lengkap, dua beradik itu tetap bersemangat datang ke sekolah seawal 7 pagi ditemani ibu dan bapa mereka.
"Walaupun tak ada pakaian sekolah, saya tetap datang ke sekolah sebab nak belajar bersungguh-sungguh, saya nak jadi doktor," kata Siti Aisyah.
Tinjauan Bernama di sekitar sekolah ini mendapati kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah memakaikan pakaian seragam sekolah anak-anak mereka di hadapan sekolah akibat lumpur yang masih melekat di merata tempat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, sesi persekolahan di semua sekolah di Terengganu berjalan lancar meskipun terdapat sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir.
"Sesi sekolah hari ini berjalan lancar biarpun sekolah yang ditenggelami banjir akhir tahun lalu masih belum pulih sepenuhnya," katanya.
Di KEMAMAN, lebih 500 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok termasuk 80 murid Tahun Satu tetap bersemangat dan ceria memulakan sesi persekolahan walaupun sebelum ini menjadi mangsa banjir.
Guru Besar sekolah itu Mohd Nasir Mat Omar berkata, pihaknya memerlukan kira-kira tiga hari lagi bagi membersihkan sekolah itu yang menjadi pusat pemindahan banjir sebelum dapat beroperasi seperti biasa.
"Pihak sekolah bekerjasama dengan sukarelawan dan beberapa agensi lain memulakan proses pembersihan ini sejak 2 Jan lalu...syukur sesi persekolahan hari ini berjalan lancar dan kesemua murid bersemangat memulakan persekolahan walaupun terdapat beberapa kerosakan pada peralatan sekolah," katanya ketika ditemui Bernama.

No comments:

Post a Comment