Kenderaan yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Penjara Sungai Buloh hari ini. - Foto Bernama |
Ketua pembangkang itu dipercayai dibawa ke Penjara Sungai Buloh dengan menaiki kenderaan jenis Nissan X-Trail.
Kenderaan itu turut diiringi lapan kenderaan lain dan dilihat masuk ke perkarangan penjara selepas meninggalkan Mahkamah Persekutuan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang ketika dihubungi Bernama mengesahkan Anwar dibawa ke penjara itu pada 3.49 petang tadi.
Suasana di luar Kompleks Penjara Sungai Buloh bagaimanapun tenang dengan segelintir individu dipercayai penyokong Anwar mengambil peluang merakam gambar kenderaan yang dinaiki Penasihat PKR itu.
Ketibaan Anwar dikawal ketat kira-kira 60 pegawai dan anggota daripada Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada 5.40 petang, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat tiba di Penjara Sungai Buloh untuk menyerahkan beg peribadi milik Anwar berwarna biru gelap.
Turut kelihatan di luar perkarangan penjara ialah Anggota Parlimen Subang R. Sivarasa dan ketika ditemui pemberita, beliau (Sivarasa) berkata Anwar tidak dibenarkan untuk menerima pelawat hari ini.
"Esok pagi saya akan jumpa Anwar, waktu lawatan belum ditentukan lagi," katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.
Keputusan itu disampaikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim. -Bernama
No comments:
Post a Comment