Monday, February 9, 2015

Indonesia digesa tidak laksana hukuman mati



GAMBAR fail bertarikh 14 Februari 2006 menunjukkan dua warga Australia, Andrew Chan (kiri) dan Myuran Sukumaran ditahan di penjara Kerobokan di Denpasar, Bali, Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah. - AFP


SYDNEY – Para pemimpin agama di Australia menggesa pemerintah Indonesia supaya menunjukkan belas kasihan terhadap dua lelaki yang menunggu hukuman mati di Bali.
Andrew Chan dan Myuran Sukumaran ditahan sewaktu bercuti di Pulau Bali pada tahun 2005 dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun berikutnya kerana cuba menyeludup sejumlah dadah jenis heroin ke Indonesia.
Chan dan Sukumaran yang merupakan anggota sindiket dadah Australia yang dikenali sebagai Bali Nine, gagal dalam rayuan terakhir untuk mendapatkan pengampunan
Pihak berkuasa Indonesia dilaporkan akan meneruskan hukuman mati seperti yang dirancang pada bulan ini.
Pemimpin agama Kristian, Archbishop Antony Fisher dan Mufti Besar Ibrahim Abu Mohammad meminta Presiden Indonesia, Joko Widodo campurtangan untuk menyelamatkan nyawa Andrew dan Myuran yang masing-masing berusia awal 30-an.
“Permintaan kami hari ini (semalam) adalah untuk pengampunan atau hukuman terhadap Andrew dan Myuran dikurangkan supaya mereka boleh terus menjalai pemulihan,” kata dua pemimpin agama tersebut dalam satu kenyataan bersama.
“Melaksanakan hukuman mati akan menamatkan kehidupan mereka sekali gus tidak memberi peluang untuk mereka bertaubat dan menjalani pemulihan.” tambah mereka.
Bagaimanapun, Duta Indonesia ke Australia, Nadjib Riphat Kesoema memberitahu wartawan di Canberra, rayuan undang-undang dua banduan tersebut sudah sampai ke peringkat tertinggi.
Pada bulan lalu, Jakarta telah menggantung enam pengedar dadah termasuk lima rakyat asing. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3RCNDjU6W 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment