SERING kali dikatakan peceraian akan menghancurkan masa depan isteri yang ditinggalkan manakala anak-anak pula akan menjadi tidak tentu hala hidup mereka.
Bagi sesetengah pasangan kata-kata itu ada kebenarannya tetapi bagi mereka yang reda dengan keadaan dan menyifatkanya sebagai ujian hidup pasti akan membawa perubahan.
Inilah kisah yang ingin saya sentuh minggu ini, pengalaman menjadi mangsa perceraian dan hidup sebagai ibu tunggal bagi seorang wanita yang berkahir dengan kebahagiaan.
Di sebalik air mata yang tumpah setiap hari di permulaan perceraiannya, kini wanita ini yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ann (bukan nama sebenar) hidup bahagia bersama anak menantu dan cucunya.
“Derita saya sudah berakhir, Allah gandakan dengan kebahagiaan ini. Alhamdulillah,” demikian komen Kak Ann kepada saya.
Kita ikuti cerita Kak Ann....
“Umur saya 58 tahun. Saya telah menjadi ibu tunggal selama lebih 20 tahun, saya terpanggil untuk berkongsi cerita hidup saya dengan anda semua.
“Dalam hidup ini kita kena reda atas tiga perkara: jodoh, maut dan pertemuan itu kerja Allah. Mahu tidak mahu kita tidak dapat mengelak apabila ia terjadi.
“Status ibu tunggal atau janda memang sangat ditakuti oleh kebanyakan wanita. Begitu juga dengan saya. Sebagai wanita saya amat terhina apabila diceraikan suami tanpa kerelaan saya.
“Saya tidak mahu cerita sebab saya diceraikan sebab tentu semua orang boleh agak kerana orang ketiga. Memang betul, suami jatuh cinta dengan orang lain. Kalau sudah dia tidak mahukan kita, buat apa tunggu. Jalan terbaik adalah dengan meminta cerai.
“Bukan kita sengaja nak minta tetapi keadaan meletakkan begitu. Buat apa lagi bersuami kalau nafkah anak, rumah tangga dan segala-galanya tentang keluarga dilupakan?
“Bukankah lebih baik dilepaskan dan biarkan kita menjalani hidup sendiri dengan cara kita dan dilindungi Allah. Itu yang saya mahukan. Alhamdulillah. Akhirnya saya terlepas daripada kemelut tersebut setelah hampir dua tahun naik turun mahkamah.
“Pengalaman saya yang telah menjadi ibu tunggal lebih 20 tahun ini sangat indah... indah maksudnya warna warni, ada suka ada duka. Kadang ketawa kadang menangis. Tidak menentu hidup kita dalam tempoh itu.
“Ketika itu saya berusia 30 tahun tidak silap. Bayangkan bagaimana nak jaga dua orang anak yang masih kecil, seorang lelaki 3 tahun dan perempuan 1 tahun. Rasa macam nak lari tinggal dalam hutan ketika itu.
“Kehidupan ketika itu memang sangat sukar, tanpa kelulusan yang tinggi dan hanya dengan gaji tidak sampai RM800 ringgit sebulan apa yang mampu saya berikan kepada anak-anak.
“Sewa rumah, bil api air, makanan dan tambang pergi balik kerja pun cukup-cukup. Nafkah untuk anak-anak langsung tidak ada. Begitu juga dengan bantuan lain.
“Saya buat kerja macam-macamseperti menceburi jualan langsung, jual kain dari rumah ke rumah semata-mata untuk menambah pendapatan. Tapi saya selalu ambil positif dan berkata dalam hati, saya boleh hidup tanpa suami. Saya yakin rezeki untuk saya dan anak-anak Allah sudah tentukan.
“Saya perlu berusaha dan sabar. Saya perlu bangkit dan melawan rasa sedih dan kecewa demi anak-anak. Saya terus bekerja dan pada masa yang sama mengambil kursus luar kampus di salah sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur di dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Pemasaran. Tiga tahun bertungkus-lumus akhirnya saya berjaya menggenggam segulung diploma.
“Hasil penat lelah saya itu membuka mata majikan yang menawarkan saya jawatan Pegawai Pemasaran di kilang tempat saya bekerja. Di situ saya mengasah bakat. Saya berdoa agar saya terus berjaya.
“Alhamdulillah 10 tahun kemudian saya membuka syarikat sendiri. Berkat kesabaran yang dikurniakan oleh Allah kepada saya, anak-anak juga berjaya dalam pelajaran mereka dan memegang jawatan penting di tempat kerja mereka. Salah seorang daripada mereka telah membuka syarikat IT sendiri.
“Saya juga telah mempunyai seorang cucu yang comel berusia satu tahun, mempunyai perniagaan yang maju dan mempunyai sedikitsimpanan dan harta untuk hari tua juga dapat bersedekah, berzakat serta dapat juga diwariskan kepada anak cucu setelah saya meninggal dunia nanti.
“Kini saya semakin bahagia dan rilek. Saya ada masa untuk beramal jariah, pergi masjid, menghabiskan masa dengan anak menantu dan cucu serta kawan-kawan.
“Syarikat saya juga anak kedua tolong uruskan jadi saya ada masa untuk berehat dan saya harap satu hari nanti kedua-dua anak saya akan meneruskan perniagaan saya ini.
“Ketika meniti usia senja ini, saya terfikir balik, apa nasib yang telah menimpa saya selama ini adalah ketentuan Allah dan sesungguhnya Allah ingin menguji saya. Ujian itu adalah tandanya Allah sayang kepada kita.
“Teringat ketika diceraikan dahulu saya sangat marah dengan bekas suami, dengan orang ketiga yang merampas suami dan bekas mentua saya. Tetapi sekarang tidak lagi, sebaliknya saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada suami kerana menceraikan saya kerana jika tidak, tentu hidup saya tak seindah dan bahagia seperti sekarang.
“Hidup saya sekarang sangat bahagia, saya telah menunaikan Haji dan sudah beberapa kali buat umrah. Kalau tidak bercerai, mungkin saya masih bekerja kilang hingga ke tua dan tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri. Ini semua kerja Allah.
“Selalu juga saya menasihatkan kepada anak-anak, apa saja perkara yang tak baik yang berlaku kepada kita, anggaplah sebagai satu cabaran. Sahutlah cabaran itu dengan hati yang sabar, tenang bersifat positif.
“Saya ingatkan anak-anak akan kehidupan kami semasa mereka masih kecil. Mereka nampak apa yang saya lalui. Bagaimana saya menangis setiap hari, bagaimana susahnya mencari duit untuk menyara mereka.
“Bagaimana susahnya saya naik bas, turun bas dan kadang kala tumpang orang untuk ke kuliah setelah penat balik kerja. Semua itu saya buat dengan ikhlas... sebab saya fikir masa depan mereka.
“Apa yang saya paparkan ini adalah sebagai teladan untuk orang lain khasnya ibu tunggal yang ditinggalkan suami seperti saya.
“Saya harap mereka kuat semangat dan bangkit melawan keadaan untuk terus berjaya dalam hidup. Jangan berputus asa dan jangan sesekali mengalah kepada keadaan.
“Semoga semua ibu tunggal dan wanita yang ditinggalkan suami akan tabah melalui hidup mereka dan terus berjuang untuk mencari kebahagiaan hidup.’’ demikian pesanan Kak Ann sebelum menamatkan ceritanya.
Terkedu saya dengan kisah Kak Ann. Berapa ramai wanita yang sanggup menerima perceraian yang berlaku kepada mereka secara positif seperti mana yang kak Ann lalui.
Betul pesanan kak Ann, jangan jadikan status ibu tunggal sebagai alasan untuk putus asa. Teruskan perjuangan untuk hidup. Insya-Allah setiap kerja baik itu pasti akan dirahmati Allah.
Sebelum menamatkan cacatan pesanan saya, nilai hidup sebenarnya apabila seseorang itu dapat menikmati dan memanfaatkan setiap saat yang dilaluinya dalam kehidupan.
Salam
No comments:
Post a Comment