Sekumpulan anggota pasukan kecemasan Indonesia mengangkat mayat mangsa nahas QZ8501 yang ditemui di Laut Jawa menaiki helikopter. – AGENSI
JAKARTA 7 Feb. – Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia berjaya membawa keluar salah satu daripada dua mayat di dalam kokpit pesawat AirAsia QZ8501, lewat petang semalam.
Agensi berita Channel News Asia melaporkan, ketika ditemui mayat yang semakin mereput itu didapati masih lengkap dengan pakaian seragam syarikat penerbangan, dengan tubuhnya terikat dengan tali pinggang keledar.
Kokpit tersebut ditemui 20 meter dari badan pesawat yang tenggelam di dasar Laut Jawa pada 28 Disember lalu.
Pihak berkuasa berkata, operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan menjelang malam, dengan satu lagi mayat yang masih terperangkap di dalam kokpit berkenaan akan dibawa keluar, pagi ini.
Bagaimanapun, pegawai operasi tidak dapat mengenal pasti idenititi mayat yang berjaya dibawa keluar itu, sama ada milik juruterbang, Iriyanto atau pembantunya, Remy Plesel.
Mayat yang berjaya dibawa keluar kemudian dibawa menaiki kapal KN Pacitan untuk dihantar kepada pihak berwajib untuk proses pengecaman.
Sepanjang minggu ini, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui 28 mayat mangsa nahas itu, dengan operasi mencari saki baki mangsa dilanjutkan untuk tempoh seminggu lagi.
Selain itu, akibat dibawa arus laut yang deras badan pesawat QZ8501 kini beralih pada kedudukan 980 kilometer dari tempat asal pesawat itu terhempas.
No comments:
Post a Comment