Copenhagen: Sebuah majalah terpaksa memohon maaf selepas menggunakan gambar model yang diibaratkan seperti tengkorak hidup dalam edisi terkininya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33431#sthash.OtdrNZ0Q.dpuf
Penerbit majalah Cover, Malene Malling mengakui kesilapannya memilih gambar model remaja, Lululeika.
“Saya gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai penerbit, wanita dan ibu. Saya benar-benar minta maaf.
“Selama ini kami memang mengetengahkan wanita dengan pelbagai usia dan saiz badan. Itu sebenarnya yang cuba kami tonjolkan.
“Kami juga sentiasa mementingkan model yang sihat, namun saya akui gambar ini memang keterlaluan,” katanya.
Gambar itu asalnya dikongsikan di Reddit menyebabkan pengguna Internet menyelar model berusia 16 tahun itu kerana terlalu kurus.
Pengguna, ‘Keepitgoinglouder’ berkata: “Mungkinlah baju nampak lebih ‘terletak’ pada badan yang kurus, namun ini memang melampau.
“Gadis ini tak ubah seperti tengkorak hidup, malah warna kulit dan riak mukanya nampak separuh mati. Eloklah penerbitnya mengaku bertanggungjawab.”
Ramai lain yang mengkritik susuk badan Lululeika nampak seperti penghidap anoreksia.
Namun tidak kurang juga yang mengingatkan sebarang kenyataan perlu menghormati remaja berkenaan dan tidak terlalu negatif.
Agensi model berkenaan, Scoop berkata, dia menghadapi banyak tekanan berikutan kematian dua anggota keluarganya.
“Kami berharap sebarang komen dibuat menghormati keadaannya tanpa menggelarnya sebagai sakit, kerana itu tidak benar.”
Lululeika sendiri tidak mengulas perkara itu.
Sementara itu, Mary George dari Beat - badan kebajikan yang menyediakan khidmat sokongan bagi golongan yang mengalami masalah pemakanan juga menganggap gambar itu tidak patut disiarkan.
“Walaupun ada model yang memang semulajadi kurus, imej ini sendiri nampak tidak realistik,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:48 AM
No comments:
Post a Comment