BEBERAPA orang sarjana dan ulama Islam dari seluruh dunia yang menghadiri Persidangan Islam Global membincangkan tajuk Menangani Keganasan di Mekah, semalam. – AGENSI
MEKAH 25 Feb. - Para sarjana dan ulama Islam dari seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan berat yang dilontarkan dan sikap berat sebelah masyarakat dunia yang mengaitkan Islam dengan keganasan.
Portal berita saudigazette melaporkan, kecaman itu dilontarkan pada hari kedua Persidangan Islam Global selama tiga hari dengan tema ‘Menangani Keganasan’, di sini, hari ini.
Sarjana dan para ulama itu berkata, kumpulan pelampau daripada kepercayaan lain turut menyalahgunakan agama sebagai payung untuk melancarkan keganasan.
“Terdapat usaha bersepadu oleh sebahagian agensi untuk mengaitkan Islam dengan keganasan, namun perkara yang sama tidak pula dikaitkan dengan agama lain.
“Jika seorang Islam yang tidak memahami prinsip asas Islam melakukan perbuatan ganas ia akan dikaitkan dengan Islam. Namun, jika perbuatan itu dilakukan oleh mereka beragama Kristian, Yahudi, Hindu atau Buddha ia jarang dikaitkan dengan agama yang dianuti pelaku itu,” tegas para ulama itu.
Para ulama berkata, keganasan bukan produk mana-mana agama dan kaum, namun ia merupakan satu fenomena yang telah wujud di dalam pelbagai masyarakat dalam bentuk dan manifestasi berbeza sepanjang zaman.
Ketika bercakap dalam sesi lain atas tajuk ‘Keganasan dan perjuangan bersenjata’, para ulama itu menegaskan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan hak untuk mengangkat senjata dan melancarkan penentangan dalam usaha membebaskan tanah air yang diduduki atau bagi memperjuangkan kebebasan.
Beberapa orang ulama terkenal tempatan dan luar negara turut mengambil bahagian pada persidangan anjuran Liga Dunia Islam (MWL) itu.
No comments:
Post a Comment