Tentera Ukraine mengumpulkan mayat rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak pro-Rusia di Debaltsevo berhampiran pusat pemeriksaan Gorlivka, kelmarin. – AFP
PARIS 25 Feb. – Perancis, Jerman, Rusia dan Ukraine menggesa supaya gencatan senjata penuh dilaksanakan di timur Ukraine ketika London mengumumkan mereka akan menghantar tentera bagi melatih tentera kerajaan memerangi pemberontak pro-Rusia di negara itu.
Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, negara itu akan menghantar kira-kira 75 pegawai bagi memberi nasihat dan melatih tentera Ukraine, namun menolak untuk menghantar kelengkapan senjata kerana `berpendapat perlu ada penyelesaian diplomatik’ bagi konflik tersebut.
Dalam pada itu, menteri-menteri luar Perancis, Jerman, Rusia dan Ukraine mengadakan mesyuarat di Paris dalam usaha terbaharu untuk menyelamatkan pelan damai di timur Ukraine yang dicapai di Minsk, Bulgaria, 12 hari lalu.
Pencabulan berterusan gencatan senjata memusnahkan kepercayaan antara pihak-pihak yang bertelagah, setakat ini.
Kiev menuduh pemberontak tidak mengendahkan perjanjian itu dengan menawan hab pengangkutan strategik di Debaltseve, selepas gencatan senjata itu dikuatkuasakan pada 15 Februari lalu.
``Kami menuntut pelaksanaan yang tegas kepada kesemua peruntukan di bawah perjanjian Minsk bermula dengan gencatan senjata penuh dan pengunduran sepenuhnya senjata-senjata berat,’’ kata Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius.
Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin berkata, mesyuarat tiga jam di Paris itu tidak membawa sebarang `kejayaan’ ketika kebanyakan isu teknikal dibincangkan.
``Agak malang kerana tiada persetujuan politik tentang bagaimana untuk mengecam apa yang berlaku di Debaltseve,’’ katanya.
Sementara itu, pertempuran di timur Ukraine mula berkurangan selepas serangan ke atas Debaltseve, namun pertempuran berterusan di sekitar tempat strategik pertempuran seperti di bandar pelabuhan Mariupol.
Tentera Ukraine berkata, seorang anggota mereka maut, manakala tujuh lagi cedera dalam tempoh 24 jam ketika pemberontak cuba menggempur kampung Shyrokine, timur Mariupol, manakala pemberontak mendakwa tiga anggota mereka terbunuh dalam serangan bom tentera Ukraine. – AFP
No comments:
Post a Comment