Hakim arah tanggal hijab
EL-ALLOUL
MONTREAL- KANADA. Seorang hakim di bandar Quebec enggan memulakan pendengaran kes seorang wanita Muslim melainkan dia membuka tudungnya.

Hakim terbabit, Eliana Marengo mengarahkan Rania el-Alloul menanggalkan tudung dipakainya atau memohon penangguhan untuk berunding dengan peguam.

Marengo memberi alasan, pemakaian tudung sama seperti topi atau cermin mata hitam yang tidak dibenarkan di dalam mahkamah.

"Saya tidak akan melayan pendengaran kes ini sekiranya anda masih memakai hijab," kata Marengo.

El-Alloul, 47, hadir di mahkamah untuk meminta keretanya dipulangkan selepas ia disita pihak berkuasa.

Ketika bercakap kepada media, el-Alloul berkata dia tidak percaya situasi itu boleh berlaku ke atas dirinya.

"Saya memakai hijab ketika mengangkat sumpah sebagai warganegara Kanada. Apa pun, kejadian di mahkamah membuatkan saya berasa takut.

"Saya merasakan bahawa saya bukan lagi rakyat Kanada," ujar el-Alloul.

El-Alloul menambah, tindakan hakim tersebut meningkatkan lagi sentimen Islamofobia.

Di bawah undang-undang Kanada, bukan menjadi kesalahan memakai hijab di mahkamah.

Ia hanya menyatakan mereka yang hadir di mahkamah perlu berpakaian sopan dan sesuai. - Press TV