Sunday, March 1, 2015

Pembunuhan ahli pembangkang Russia dirancang rapi - Penyiasat


Boris Nemtsov. - Foto AFP
MOSCOW: Pembunuhan ahli politik pembangkang Russia, Boris Nemtsov dirancang dengan rapi, demikian menurut kumpulan penyiasat berdasarkan senjata api yang digunakan serta maklumat pergerakan diketahui pembunuhnya.
"Tiada keraguan lagi jenayah ini dirancang dengan amat rapi, termasuk pemilihan tempat pembunuhannya," kata Jawatankuasa Penyiasatan yang bertanggungjawab merungkai pembunuhan Nemtsov.
Ia adalah kenyataan pertama dikeluarkan jawatankuasa tertinggi itu susulan kematian Nemtsov yang berusia 55 tahun yang ditembak, tengah malam tadi.
Laporan awal menyebut, Nemtsov ditembak antara tujuh hingga lapan das dari sebuah kereta ketika mangsa sedang berjalan kaki menyusuri jambatan Bolshoi Moskvoretsky.
Nemtsov, antara pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik Presiden Vladmir Putin.
Beliau memulakan karier politiknya sebagai Gabenor Wilayah Nizhny Novgorod di tengah Russia dan menjadi Timbalan Perdana Menteri pada lewat 1990-an ketika pemerintahan Presiden Boris Yeltsin. - AFP

No comments:

Post a Comment