KUALA LUMPUR 21 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk mengikut langkah DAP apabila tidak menyokong hasrat Pas membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Parlimen.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya dekat sini malam tadi yang diadakan bagi membincangkan secara khusus tentang rang undang-undang persendirian tersebut.
Menurut PKR, parti itu tidak dimaklumkan tentang kandungan rang undang-undang persendirian berkenaan kerana ia dicadangkan secara sebelah pihak tanpa pemberitahuan kepada parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.
PKR turut menyifatkan tindakan tersebut bercanggah dengan keputusan mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang pada 8 Februari lalu.
“Sekiranya rang undang-undang persendirian tersebut berkaitan dengan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), PKR tetap dengan pendirian asal iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip fiqh al-awlawiyyat, maslahat ummah dan maqasid syariah,” kata parti itu dalam kenyataan melalui laman Facebook milik Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Wan Azizah dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Shamsul Iskandar Md. Akin, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.
Difahamkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengemukakan notis untuk membentangkan rang undang-undang persendirian tersebut kepada Parlimen Rabu lalu.
Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan secara sebulat suara kelmarin melibatkan 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas, 12 ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Walau bagaimanapun, PKR seolah-olah cuba mengalihkan kontroversi yang bakal timbul ekoran keputusan tersebut dengan menyatakan Peraturan Tetap Dewan Rakyat menetapkan bahawa sebarang rang undang-undang hanya akan dibahaskan dengan restu kerajaan.
Parti itu menambah, setakat ini, tiada pemimpin tertinggi UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang membuat kenyataan berhubung pendirian mereka terhadap rang undang-undang persendirian terbabit.
No comments:
Post a Comment