KUALA LUMPUR: Penyampai stesen radio BFM, Aisyah Tajuddin, hari ini memohon maaf atas nada dan cara penyampaiannya dalam satu klip video yang mempersenda pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah atau hudud di Kelantan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Aisyah berkata, kini beliau sedar video yang memaparkan beliau sebagai penyampai itu telah menimbulkan kemarahan kepada ramai pihak.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf bagi nada dan cara penyampaian saya di dalam video itu. Saya tiada niat untuk mengherdik. Saya tiada niat untuk menghina.
"Namun kini saya sedar bahawa ianya telah menimbulkan kemarahan. Maka untuk itu, saya benar-benar kesal dan memohon maaf," katanya dalam kenyataan itu.
Beliau menjelaskan, sejak video itu di muat naik dalam laman sosial dan menjadi viral, pelbagai ancaman bunuh dan rogol telah diterimanya, termasuk keluarga serta teman sekerja.
"Ianya sangat mendukacitakan. Mengharungi betapa bahayanya ancaman terhadap keselamatan diri ini adalah pengalaman yang buruk dan bukan ciri-ciri Malaysia yang saya tahu.
"Namun, saya juga mendapat dokongan dan sokongan dari pelbagai pihak termasuk rakan dan insan yang tidak saya kenali. Untuk itu, saya sangat bersyukur," katanya.
Turut dijelaskan Aisyah, tindakan dilakukan itu tidak sama sekali berniat menghina atau mengutuk mana-mana agama apatah lagi agamanya sendiri.
Bagaimanapun, beliau turut menyatakan bahawa liputan media berkenaan insiden klip video itu sebelum ini telah mengaburi maksud sebenar yang ingin disampaikan.
"Objektif video itu adalah untuk mempersoalkan keutamaan kerajaan PAS Kelantan dan tidak sekalipun berniat menghina Islam," katanya.
No comments:
Post a Comment