JAKARTA – Seorang menteri Indonesia memberi amaran Australia bakal berdepan “tsunami manusia” jika Canberra terus memberi tekanan supaya dua penyeludup dadah warganya yang kini menunggu untuk menjalani hukuman mati diberikan pengampunan.
Beberapa rakyat asing dijadualkan menjalani hukuman mati kerana kesalahan berkaitan dadah, manakala Australia merupakan antara negara yang merayu kepada Presiden Joko Widodo supaya mengampunkan rakyat mereka.
Banduan warga asing itu termasuk dua rakyat Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran di samping seorang rakyat Perancis, seorang warga Brazil dan tiga rakyat Nigeria serta beberapa banduan dari Filipina dan Ghana.
Rayuan pengampunan yang dibuat oleh Australia itu turut meminta Indonesia agar mengenang budi Canberra yang telah banyak menghulurkan bantuan kepada mangsa tsunami di Aceh.
Namun, tindakan Australia itu mencetuskan kemarahan ramai pemimpin Indonesia termasuk Menteri Keselamatan Tedjo Edhy Purdijatno.
Beliau memberitahu, pada minggu ini bahawa Indonesia boleh melepaskan tsunami manusia terdiri daripada sejumlah pencari suaka ke Australia.
“Indonesia banyak berusaha untuk meghalang pendatang haram dari negara-negara lain daripada memasuki Australia,” beliau dipetik sebagai berkata oleh media Indonesia.
“Jika Canberra terus bersikap seperti ini, Jakarta nyata akan melepaskan migran ini yang mahu pergi ke Australia.
“Terdapat lebih 10,000 pencari suaka ini di Indonesia pada masa ini. Jika mereka dibebaskan, Australia akan berdepan tsunami manusia,” tambahnya.
Canberra telah bertungkus lumus selama bertahun-tahun untuk mengekang kemasukan pencari suaka yang menjadikan Indonesia sebagai negara transit.
Pada bulan lalu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, Jakarta perlu mengingati bantuan bernilai AS$1 bilion (RM3.69 bilion) yang dihantar oleh Australia bagi membantu mangsa tsunami di Lautan Hindi pada 2004. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3U90XAJpZ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment