Suki Kim mengajar sekumpulan mahasiswa ketika menyamar sebagai pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Sains dan Teknologi Pyongyang di Korea Utara pada 2011. Agensi
NEW YORK 31 Mac – Seorang penulis Amerika Syarikat (AS) yang menyamar sebagai pensyarah bahasa Inggeris di Korea Utara mendedahkan, pelajar paling pandai di negara tersebut tidak tahu tentang kewujudan Facebook atau mengenali monumen terkenal seperti Taj Mahal, piramid atau Menara Eiffel.
Wanita kelahiran Korea, Suki Kim yang menyamar sebagai pengajar bahasa Inggeris di Universiti Sains dan Teknologi Pyongyang sebanyak dua penggal pada 2011 itu, mendedahkan perkara berkenaan dalam bukunya bertajuk Without You, There Is No Us; My secret life teaching the sons of North Korea’s elite.
Kim yang ketika itu berumur 40 tahun berkata, dia perlu mendapat kebenaran daripada sebuah kumpulan pemantau berhubung bahan-bahan pengajarannya sebelum mengajar 270 pelajar lelaki berumur antara 19 dan 20 tahun.
“Pelajar-pelajar paling pandai di Korea Utara pun, tidak dapat mengecam gambar Taj Mahal dan piramid di Giza.
“Bagaimanapun, mereka kenal pengasas Microsoft, Bill Gates, tetapi tidak tahu tentang kewujudan Facebook,” katanya.
Beliau berkata, pelajar-pelajar berkenaan tidak pernah diajar mengenai dunia luar.
“Mereka tidak tahu mengenai kewujudan Internet. Hanya terdapat satu saluran televisyen dan sebuah akhbar mengenai pengasas dan pemimpin pertama negara ini, Kim Il-sung.
“Tetapi pada peringkat lain mereka merupakan golongan elit. Jika mereka (pelajar-pelajar) mendapat pendedahan mengenai perkara itu, mereka tidak akan mendedahkannya kerana takut dan bimbang tentang kesannya,’’ kata penulis tersebut.
Kim berasa gentar melihat anak-anak muridnya ‘ditipu’ tentang kejayaan pemimpin-pemimpin Korea Utara.
“Segalanya penuh dengan penipuan. Mereka tinggal dalam dunia yang penuh penipuan.
“Sistem sedia ada telah ditanam dalam diri mereka. Mereka ditipu untuk melindungi sistem itu dari pengaruh luar dan kerana ketakutan,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment