Agensi
New York: Switzerland dipilih sebagai negara paling gembira di dunia dalam satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan ahli akademik.
Laporan yang dikeluarkan kelmarin itu memilih Iceland di tempat kedua diikuti, Denmark, Norway dan Kanada.
Laporan Kebahagiaan Dunia 2015 adalah laporan tahunan ketiga yang dikeluarkan bagi menilai dan menjelaskan kebahagiaan di 158 negara di seluruh dunia.
Kajian itu juga bertujuan untuk mempengaruhi dasar kerajaan di seluruh dunia.
Finland, Belanda, Sweden, New Zealand dan Australia semua berada di kedudukan 10 negara paling bahagia.
Laporan itu mendapati tujuh negara sederhana atau kecil di Eropah Barat menduduki tangga 10 negara paling bahagia.
Amerika Syarikat berada di kedudukan ke-15, di belakang Israel dan Mexico manakala Britain berada di tangga ke-21 di bawah Belgium serta Emiriyah Arab Bersatu.
Perancis pula berada di kedudukan ke-29 di belakang Jerman yang berada di tangga ke-26.
Pemboleh ubah utama yang dikira adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jangka hayat penduduk, kebebasan untuk membuat pilihan, bebas daripada rasuah dan kemurahan hati penduduk.
Afghanistan dan Syria menyertai lapan lagi negara Afrika, Togo, Burundi, Benin, Rwanda, Burkina Faso, Ivory Coast, Guinea dan Chad di kelompok 10 negara paling tidak menggembirakan.
Walaupun Iraq dilanda konflik tetapi negara itu menduduki tangga ke-112 di atas Afrika Selatan, India, Kenya dan Bulgaria.
“Laporan ini memberikan bukti bagaimana untuk mencapai masyarakat yang bahagia.
“Kebahagiaan bukan sahaja diukur dengan wang tetapi keadilan, kejujuran, kepercayaan dan kesihatan yang baik,” kata pengarah Institut Bumi di Universiti Columbia di sini, Jeffrey Sachs.
John Helliwell dari Universiti British Columbia dan Richard Layard dari Sekolah Ekonomi London turut terbabit menerbitkan laporan setebal 166 muka surat itu.
Helliwell berkata, sains kebahagiaan semakin menekankan kepada perkara yang menggambarkan kualiti kehidupan.
“Kita mesti melabur awal dalam kehidupan anak-anak kita supaya mereka membesar menjadi seorang dewasa yang berdikari, produktif dan gembira serta menyumbang kepada sosial serta ekonomi,” ujarnya.
Indeks kebahagiaan pertama kali diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2012.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46208#sthash.q2RR2q9X.dpuf
No comments:
Post a Comment