Saturday, May 9, 2015

Akur Desakan Pelbagai Pihak, TH Jual Tanah TRX


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 12:48 PM

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akhirnya akur dengan tekanan dan desakan pelbagai pihak apabila memutuskan untuk menjual semula plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, tanah seluas 1.6 ekar bernilai RM188.5 juta itu akan dijual semula selepas mendapat teguran pelbagai pihak termasuk nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghormati sensitiviti dan kepercayaan pendeposit.
Menurutnya, tanah itu akan dijual dengan unjuran keuntungan sekurang-kurangnya RM5 juta selain mendapat 100 peratus pulangan wang yang dibayar kepada 1MDB bagi pembelian sebelum ini.
"Sekarang ini ada tiga tawaran yang mana ketiga-tiganya akan membayar dengan RM188.5 juta tetapi kita sedang membincangkan dari segi berapa keuntungannya.
"Kita hendak tahu berapa keuntungan yang kita akan dapat (daripada jual semula tanah) kerana itu yang terbaik. Kita hendak selesaikan perkara ini dalam seminggu atau dua minggu lagi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di sini, Sabtu.
Azeez berkata, pada awalnya semua ahli lembaga pengarah mempertahankan untuk tidak menjual tanah itu demi keuntungan pelaburan namun mahu menyelesaikan isu tersebut daripada berlarutan sehingga menjejaskan nama baik Tabung Haji.
"Itulah nasihat yang diberikan (Najib), bukan satu arahan. Yang Amat Berhomat (perdana menteri) menasihatkan supaya ia jangan berpanjangan dan mengelakkan fitnah untuk menjaga sentimen rakyat," katanya.
Tabung Haji akan menjual semula tanah itu secara baik bagi mendapatkan pulangan keuntungan demi kepentingan pendeposit.
"Dalam masa terdekat ini selepas dapat duit itu, kita akan minta CFO (Ketua Pegawai Kewangan) untuk membuat pengumuman pada sidang media yang duit dah masuk dalam akaun Tabung Haji... dah selesai," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada para pendosit supaya tidak panik dengan mengeluarkan simpanan mereka di Tabung Haji.
"Simpanan makcik, pakcik... walau RM1 pun adalah dijamin oleh kerajaan buat pendeposit," katanya.
Azeez turut mengulangi pendirian Tabung Haji sebelum ini bahawa pembelian tanah bukan ‘bail out’ untuk 1MDB tetapi sebaliknya ia merupakan pelaburan yang mengambil kira kepatuhan syariah dan potensi pulangan keuntungan yang baik.
Beliau menambah, pulangan keuntungan itu akan memberi keutamaan untuk subsidi dan pengurusan haji dan agihan dividen kepada pendeposit.
Jelasnya, Tabung Haji membayar kadar pulangan dividen melebihi enam peratus dan tahun 2014 sahaja manakala pemberian bonus dan dividen 8.5 peratus.
"Kos untuk mengerjakan haji tahun ini adalah RM17,270 tetapi pendeposit hanya dikenakan caj RM9,980. Dan kita beri subsidi sebanyak 7,290 seorang.
"Dari mana kita hendak dapat subsidi ini? Sudah tentu daripada keuntungan menerusi perniagaan dan pelaburan yang dijalankan Tabung Haji," katanya.
Menurut Azeez, Tabung Haji mengagihkan dana mengikut alokasi aset yang diluluskan iaitu kira-kira 15 peratus yang diperuntukan untuk pelaburan hartanah.
"Pembelian tanah ini mengambil peluang sebagai sebuah institusi Islam yang memiliki aset di kawasan pembangunan TRX dengan unjuran keuntungan 27 peratus atau sembilan peratus setahun," katanya.

No comments:

Post a Comment