Saturday, May 9, 2015

Azeez Tidak Layan Desakan Letak Jawatan Pengerusi Tabung Haji


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 2:50 PM
Abdul Azeez Abdul Rahim. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) kerana pembelian plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak merugikan.
Beliau berkata, pembelian tanah tersebut sebaliknya memberikan keuntungan kepada pelaburan Tabung Haji sebagai pengurus dana Islam dan haji di negara ini.
"Kalau saya rugikan duit dalam Tabung Haji, bolehlah desak Abdul Azeez untuk letak jawatan. Tetapi saya tak rugi malah tanah yang baharu sahaja dibeli ini boleh menguntungkan.
"Kalau ada rugi, ada penyelewengan, penipuan dan ketirisan... bolehlah (letak jawatan), tetapi tak ada," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di sini, Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan pelbagai pihak terutama pembangkang supaya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji kerana didakwa ‘bail out’ (melindungi) 1MDB berhubung pembelian tanah seluas 1.6 ekar bernilai RM188.5 juta.
Terdahulu dalam sidang media berkenaan, Azeez menjelaskan bahawa pembelian tanah itu merupakan pelaburan yang mengambil kira kepatuhan syariah dan potensi pulangan keuntungan yang baik.
Beliau menambah, pulangan keuntungan itu akan memberi keutamaan untuk subsidi dan pengurusan haji selain agihan dividen kepada pendeposit setiap tahun.
Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling bagaimanapun menyifatkan desakan pelbagai pihak supaya meletakkan jawatan itu merupakan satu serangan politik terhadapnya.
"Saya tahu ini merupakan satu serangan politik. Saya sedar saya sebagai seorang ahli politik, ahli Umno yang mempengerusikan Lembaga Tabung Haji.
"Ada juga pihak-pihak yang tak senang dengan saya. Tetapi percayalah saya bukan dilihat sebagai ahli Umno yang biasa, saya ahli Umno dalam konteks parti saya.
"Dalam kerjaya, saya berpaksikan hablum minallah (pertimbangan Allah) habulum minannas (manfaat manusia)," kata Azeez.
Mengenai kenyataannya di laman sosial Twitter pada Rabu lalu, Azeez berkata, beliau tidak membuat penafian tetapi hanya mengatakan ia tidak benar.
"Blog The Benchmark tersebut mengatakan bahawa Tabung Haji membeli tanah berjumlah RM722 juta di TRX. Itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.
Pada Rabu lalu, Azeez menulis kenyataan di Twitter "Tak Betul. TH akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin" dan telah disalah tafsir banyak pihak sehingga beliau dikritik kerana membuat penafian mengenai pembelian tanah dari 1MDB.

No comments:

Post a Comment