BERNARDA GALLARDO sanggup mengambil bayi yang telah mati sebagai anak angkat kerana mahu mengelakkan mangsa dibuang ke tempat pelupusan sampah jika tidak dituntut waris. AGENSI
SANTIAGO 1 Mei - Seorang wanita sanggup menjadikan bayi yang sudah meninggal dunia akibat ditinggalkan oleh ibu bapanya sebagai anak angkat, semata-mata mahu memastikan bayi yang tidak berdosa itu dapat dikebumikan dengan baik.
Laman web Oddity Central memetik kenyataan Bernarda Gallardo sebagai berkata, idea untuk mengambil anak angkat itu timbul 12 tahun lalu, selepas dia mendengar berita tentang bayi dibunuh dan dibuang di kawasan pelupusan sampah di Puerto Montt.
Kata Gallardo, mengikut undang-undang negara ini, mana-mana mayat yang tidak dituntut oleh anggota keluarga dianggap sebagai sisa buangan dan akan dilupuskan bersama sampah sarap.
“Saya mengambil keputusan untuk menjadikan bayi berkenaan sebagai anak angkat supaya dia boleh dikebumikan dengan baik. Namun, usaha tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana banyak karenah birokrasi.
“Saya juga perlu meyakinkan hakim bahawa saya bukan ibu kandung bayi tersebut dan niat saya adalah baik,” jelas Gallardo, sambil menambah dia menamakan bayi itu sebagai Aurora.
Majlis pengebumian Aurora dilaksanakan dalam suasana gembira dan disifatkan oleh Gallardo sebagai ‘sebuah keraian’, apabila dihadiri kira-kira 500 orang tetamu termasuk hakim mahkamah, doktor, dan jururawat.
Selepas Aurora, Gallardo sudah mengambil dua mayat bayi sebagai anak angkat dengan dua lagi dalam proses penghakiman.
No comments:
Post a Comment