Anggota polis terpaksa menghalang penunjuk perasaan daripada memecah masuk Downing Street dalam satu kekecohan di tengah London, kelmarin. REUTERS
LONDON 10 Mei – Beratus-ratus penunjuk perasaan bertindak ganas dalam demonstrasi di Downing Street kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Parti Konservatif mencapai kemenangan majoriti dalam Pilihan Raya Umum Britain, kelmarin.
Mengikut laporan akhbar Daily Mail, seramai 17 penunjuk perasaan turut ditahan mengikut Akta 1986 pada demonstrasi itu apabila mereka bertindak menyerang anggota polis, membuat kacau selain berkelakuan ganas.
Kumpulan menggelar diri mereka sebagai ‘Perhimpunan Rakyat’ itu mengadakan demostrasi aman untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya selain protes terhadap Perdana Menteri, David Cameron yang kembali menerajui Britain untuk penggal kedua.
Penunjuk perasaan berarak dalam kumpulan kecil dari Whitehall sehingga ke pekarangan pejabat Perdana Menteri di Downing Street, dengan ada diantaranya memakai topeng dan cermin mata hitam agar tidak dapat dikenali.
Mereka kemudian mula bertindak ganas dengan menyerang polis menggunakan bom petrol, tin, dan botol air.
Mereka juga dilihat membawa papan tanda memaparkan perkataan lucah selain mengeluarkan kata-kata kesat memaki hamun polis yang menghalang mereka daripada meneruskan protes itu.
Seramai lima anggota polis cedera dengan dua daripadanya menerima rawatan di hospital, dipercayai patah tulang dan cedera di bibir.
Pihak polis terpaksa menutup jalan-jalan utama yang hanya dibuka kembali selepas kumpulan itu bersurai, beberapa jam kemudian.
Ahli Parlimen Parti Konservatif, Sir Peter Bottomley memohon kepada penduduk agar menerima keputusan pilihan raya dengan terbuka.
Jurucakap Downing Street turut mengecam perbuatan menconteng grafiti monumen perang sebagai tidak menghormati pengorbanan pahlawan yang telah terkorban demi negara.
No comments:
Post a Comment