WASHINGTON: Raja Arab Saudi, Raja Salman tidak akan menghadiri sidang kemuncak yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kerana sidang tersebut bercanggah dengan gencatan senjata kemanusiaan yang dijadualkan di Yaman serta pembukaan Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman.
Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menjelaskan, walaupun tidak dapat menghadiri sidang kemuncak tersebut, Raja Salman komited dalam mencapai keamanan dan keselamatan di Yaman dan menggesa agar bantuan kemanusiaan dihantar dengan lebih cepat.
Obama mengadakan sidang kemuncak tersebut untuk mengukuhkan kerjasama dan kepercayaan dengan pemimpin Teluk itu selain meneruskan perbincangan bersama Iran.
Pegawai di White House menerangkan, Amerika Syarikat mahu menyangkal kebimbangan pihak Arab Saudi mengenai pihak Washington yang dikatakan tidak mahu mempunyai kerjasama dengan negara Teluk itu dan mengurangkan ketakutan pihak Arab mengenai perbincangan bahan nuklear bersama dengan musuh tradisi, Iran.
"Ini merupakan peluang untuk kami memperkuatkan kerjasama strategik bersama negara-negara Teluk, membincangkan kebimbangan mengenai tindakan Iran yang menggugat kestabilan di rantau ini.
"Kami juga bersama-sama memberikan komitmen untuk mengambil langkah-langkah penting dalam meningkatkan kestabilan di negara tersebut dan mengurangkan ketegangan," kata pegawai di White House.
Beberapa diplomat dari negara Teluk menyuarakan kebimbangan mereka secara rahsia mengenai dakwaan berkaitan pihak Washington yang membuat tawar-menawar bersama Iran dalam satu perjanjian nuklear.
Pihak dari Washington juga akan berbincang bersama negara Teluk itu mengenai konflik di negara Arab termasuk di Iraq, Libya, Syria, dan Yaman.
Sumber daripada kedutaan Arab Saudi di Washington menjelaskan, delegasi Arab akan diketuai oleh Putera Mahkota Muhammed bin Nayef pada sidang kemuncak itu.
Akan turut hadir pada sidang kemuncak tersebut adalah anak kepada Raja Arab, Timbalan Putera Mahkota, Putera Muhammad bin Salman setelah mengetahui perubahan rancangan pada Jumaat lalu.
Enam Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk dijangka akan melawat White House pada Rabu sebelum menghadiri sidang kemuncak di tempat rehat Presidensi, Camp David, pada keesokan harinya.
Setiausaha Amerika Syarikat, John Kerry telah berjumpa dengan Adel al-Jubeir di Paris pada Jumaat untuk membuat persiapan bagi sidang kemuncak yang akan turut disertai oleh pemimpin dari Bahrain , Kuwait , Oman , Qatar , dan Emiriah Arab Bersatu.
No comments:
Post a Comment