BELANDA merancang mengharamkan pemakaian penutup muka atau niqab di beberapa tempat tertentu termasuk sekolah dan hospital. Agensi
AMSTERDAM 23 Mei – Kabinet Belanda merancang membentang undang-undang bagi mengharamkan pemakaian penutup muka atau niqab di tempat-tempat seperti sekolah, hospital dan pengangkutan awam.
Laman web al-Jazeera melaporkan, Perdana Menteri, Mark Rutte semalam berkata, langkah bagaimanapun, tidak melibatkan pemakaian niqab di jalan-jalan raya.
“Pengharaman ini hanya dikenakan dalam situasi tertentu di mana merupakan satu keperluan untuk muka seseorang dilihat atas alasan keselamatan,” katanya kepada wartawan.
Beliau berkata, kerajaan cuba mencari keseimbangan antara kebebasan rakyat untuk memakai apa jenis pakaian dan kepentingan memudahkan komunikasi bersama.
Rutte berkata, rang undang-undang yang dicadangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Ronald Plasterk itu tidak berdasarkan latar belakang agama.
“Kerajaan tidak melihat pelaksanaan pengharaman sepenuhnya di tempat-tempat awam,’’ katanya.
Mereka yang melanggar undang-undang tersebut boleh dikenakan denda sehingga 405 euro (RM1,606).
Badan penyiaran rasmi, NOPS melaporkan antara 100 dan 500 wanita di negara ini memakai niqab.
Jiran Belanda iaitu Perancis dan Belgium turut mengenakan pengharaman pemakaian niqab di tempat-tempat awam.
Sejumlah pergerakan berhaluan kanan di Eropah menjadikan pengharaman niqab sebagai objektif politik mereka.
No comments:
Post a Comment