KUALA LUMPUR 8 Mei – Kebocoran dokumen kertas cadangan urusan pembelian tanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) seperti dilaporkan sebuah laman blog akan disiasat mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, polis telah membuka kertas siasatan bagi kes itu sejurus laporan polis dibuat semalam.
“Kebocoran maklumat di peringkat pengurusan Tabung Haji itu kita akan siasat di bawah Akta Rahsia Rasmi. Itu sememangnya bidang kuasa polis.
“Apabila ada laporan polis kita akan melakukan siasatan segera untuk menentukan siapa yang terlibat,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang menyaksikan Pengarahnya, Datuk Zubaidah Md. Ismail bersara wajib.
Ditanya sama ada terdapat beberapa individu penting akan dipanggil bagi membantu siasatan, Khalid berkata, kemungkinan itu ada sejurus siasatan dilaksanakan nanti.
“Setakat ini kita siasat di bawah Akta Rahsia Rasmi dan jika ada isu lain, kita mungkin akan buka kertas siasatan mengikut kesalahan yang lain,” jelasnya yang turut merujuk kepada laporan polis oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Semalam, Lembaga Tabung Haji menerusi Timbalan Pengarah Urusannya, Datuk Johan Abdullah membuat laporan polis terhadap sebuah laman blog yang membocorkan kertas cadangan pelaburan itu.
Menurut Johan, pembocoran maklumat sulit oleh blog itu adalah kesalahan yang serius dan pihaknya kesal kerana banyak fakta telah dimanipulasi sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.
Antara kandungan laporan polis itu adalah pelaburan Lembaga Tabung Haji sudah melalui proses dalaman, menurut peraturan dengan mendapat kelulusan yang betul dan teratur.
Malah, Johan turut menyangkal dakwaan pembelian tanah seluas 0.63 hektar (1.56 ekar) bernilai RM188.5 juta adalah untuk menyelamat atau bail out 1MDB selain menafikan beliau ditekan atau menerima panggilan telefon daripada sesiapa dalam membuat keputusan itu.
No comments:
Post a Comment