Wednesday, May 13, 2015

Keluarga Beng Hock dapat RM600,000


Kuala Lumpur: Kes saman kecuaian yang dikemukakan keluarga mendiang Teoh Beng Hock terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 13 yang lain berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Hakim Datuk Rosnaini Saub merekodkan persetujuan selepas dimaklumkan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan ketika ditemui berkata, kerajaan (defendan) bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM600,000 kepada keluarga mendiang sebagai penyelesaian penuh dan muktamad kes itu.
Menurutnya, penyelesaian mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 itu adalah berhubung tuntutan kecuaian dikemukakan plaintif terhadap defendan.
Bagi tuntutan menyebabkan ketakutan dan tekanan melampau kepada mendiang, Kamal Azira berkata, plaintif akan bersandar kepada keputusan Mahkamah Rayuan supaya polis menjalankan siasatan lanjut.
Pada 3 Oktober 2011, keluarga Teoh memfailkan saman itu dengan menamakan SPRM, kerajaan dan 12 yang lain termasuk pegawai dan anggota SPRM kerana mendakwa menyebabkan mereka kehilangan tempat bergantung.
Keluarga Teoh yang memfailkan saman itu adalah bapa mendiang, Teoh Leong Hwee, ibunya, Teng Shuw Hoi, tunang, Soh Cher Wei serta anak lelakinya, Teoh Er Jia.
Teoh, 30, adalah Setiausaha Politik kepada EXCO Kerajaan Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009, di lobi aras lima, Plaza Masalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50525#sthash.NE4fv5h7.dpuf

No comments:

Post a Comment