Saturday, May 16, 2015

Michelle Yeoh Sumbang 100,000 Euro Kepada Mangsa Gempa Bumi Nepal


Diterbitkan: Sabtu, 16 Mei 2015 1:48 PM

KATHMANDU: Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh mengumumkan beliau akan menderma 100,000 Euro (RM408,000) sebagai untuk bantuan dan pemulihan kepada mangsa-mangsa gempa bumi Nepal,  baru-baru ini.

Yeoh telah menyalurkan derma 100,000 Euro melalui Tabung Tindakan Kecemasan Nepal, Persatuan Sukan Automobil Nepal (NASA) bagi tujuan bantuan dan pemulihan mangsa gempa bumi, menurut NASA dalam satu kenyataan.
Michelle Yeoh

Yeoh ditemani pasangan Jean Todt, yang juga Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), tiba di Kathmandu pada Jumaat untuk menghadiri program NASA, francais FIA di Nepal.

Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Nepal selepas memendekkan lawatan untuk pulang ke Perancis berikutan gempa bumi kuat di sini April lepas, menurut kenyataan itu.

Yeoh yang juga duta Global Make Road Safe yang diselaraskan FIA, melawat Nepal pada 23 April lepas untuk menyertai Kongres Sukan Serantau Asia anjuran FIA.

Beliau juga telah berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk membantu lagi dalam pemulihan dan pembinaan semula di Nepal, menurut kenyataan itu.

Yeoh dan Todt juga bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu  (PBB) Ban Ki-moon selepas gempa bumi itu dan meminta sokongan kepada mangsa-mangsa gempa bumi Nepal.

Nepal dilanda gempa bumi besar berukuran 7.9 pada skala Richter pada  25 April dan gegaran susulan yang kuat pada 12 Mei lepas.

Lebih 8,500 orang terbunuh, lebih 15,000 orang cedera dan harta bernilai berbilion-bilion dolar telah musnah akibat gempa bumi berkenaan.

No comments:

Post a Comment