BUKIT MERTAJAM: "Hidup perlu diteruskan," demikian kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merujuk kepada ketiadaan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang berlangsung di sini, Khamis.
Menurut calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, beliau bagaimanapun sedia menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat Permatang Pauh jika diberikan peluang oleh pengundi kali ini.
"Tanpa Anwar saya sedih, sepatutnya ini tidak berlaku. Tetapi hidup perlu diteruskan dan kita menentang kezaliman," katanya ketika ditemui selepas membuang undi kira-kira pukul 8.40 pagi di sini.
Beliau sebelum itu tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti kira-kita pukul 8.32 pagi.
Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang meletakkan harapan untuk kembali berkhidmat di Permatang Pauh.
Malah Dr Wan Azizah juga yakin peratusan undian terhadapnya juga tidak akan merosot.
"Alhamdulillah saya rasa berjalan lancar. Saya harap dan saya berdoa supaya pengundi di Permatang Pauh tidak akan mengecewakan saya. Wallahualam saya tak boleh cakap menang atau tidak.
"Tapi saya tak percaya undian di Permatang Pauh akan menurun," katanya.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR; calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin; Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya,Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.
No comments:
Post a Comment