Surat itu yang didakwa dikeluarkan Kedutaan AS di Riyadh, merupakan antara 70,000 dokumen bocor yang digelar ‘Saudi Cables’, lapor laman web antikerahsiaan, WikiLeaks.
Dokumen itu adalah antara lebih setengah juta dokumen yang diperolehi dari Kementerian Luar Arab Saudi dan institusi-institsui lain di negara ini yang menurut laman web berkenaan akan didedahkan dalam masa terdekat.
Surat itu ditandatangani oleh Konsul Jeneral AS di Riyadh, Glen Keiser, dan dialamatkan kepada Abdullah bin Laden pada 9 September 2011, kira-kira empat bulan selepas AS menyerbu kediaman bapanya di Pakistan.
“Saya menerima permintaan anda yang mahu melihat sijil kematian ayah anda, Osama bin Laden,’’ tulis Keiser.
Katanya, pakar perundangan di Jabatan Negara AS menasihatkan supaya dokumen seperti itu tidak dikeluarkan.
“Perkara ini selari dengan amalan kebiasaan bagi individu yang dibunuh dalam operasi tentera,’’ katanya.
Sebaliknya Keiser menyediakan Abdullah bin Laden dengan rekod mahkamah AS yang mengesahkan kematian bapanya, sekali gus menggugurkan kes jenayah terhadapnya.
“Saya berharap bahawa dokumen kerajaan AS ini membantu anda dan keluarga anda,’’ kata Keiser. – AFP