BEIJING - CHINA. Kerajaan China didakwa melarang guru, pelajar dan kakitangan awam Islam di wilayah Xinjiang berpuasa, sebagai sebahagian daripada tindakan keras ke atas masyarakat Uighur pada permulaan bulan Ramadan.

"Tempat kerja perkhidmatan makanan akan beroperasi seperti biasa ketika Ramadan," menurut notis Pentadbiran Makanan dan Dadah di daerah Xinjiang Jinghe yang disiarkan di laman webnya.

Menurut notis itu lagi, penduduk Islam di wilayah itu juga tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti keagamaan dan berjaga di tengah malam untuk beribadah sepanjang Ramadan ini.

Kumpulan hak asasi manusia difahamkan telah membuat aduan sejak sekian lama berhubung peraturan kerajaan yang dianggap hanya membawa kepada peningkatan ketegangan di Xinjiang.

Jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Rexit berkata, matlamat China dalam mengharamkan puasa adalah untuk membuang etnik minoriti itu secara paksa dari budaya masyarakat Islam mereka pada bulan Ramadan.

Pegawai kerajaan memaklumkan, tindakan keras yang dilaksanakan terhadap komuniti Uighur adalah kerana sebab keselamatan dan pihak berkuasa dikatakan berhadapan dengan ancaman pengganas di rantau terbabit. - Press TV