Selain WhatsApp, kumpulan itu turut mengajak orang ramai menjauhkan diri daripada menggunakan enjin carian Google dan perisian Microsoft, sebaliknya memilih untuk menggunakan peranti Apple dan aplikasi Dropbox.
Hampir setiap ciri WhatsApp dikritik oleh Yayasan Sempadan Elektronik dalam laporannya bertajuk Who Has Your Back? dengan menyenaraikan aplikasi itu sebaris dengan syarikat teknologi AT&T.
Meskipun WhatsApp dimiliki Facebook, aplikasi itu dinilaikan berbeza daripada laman sosial tersebut kerana WhatsApp berkeupayaan memberikan maklumat kepada kerajaan sekiranya diperlukan.
Ini merupakan kali pertama WhatsApp tersenarai dalam laporan yayasan itu, lapor portal independent.co.uk.
“Walaupun Yayasan Sempadan Elektronik memberi syarikat itu tempoh setahun sebagai persediaan untuk dimasukkan dalam laporannya, mereka tidak mengguna pakai amalan terbaik yang kami kenal pasti sebagai sebahagian daripada laporan terbabit,’’ kata yayasan tersebut dalam satu kenyataan.
Apple merupakan satu-satunya daripada beberapa syarikat yang mendapat kelulusan tentang semua lima kriteria yang ditetapkan yayasan terbabit diikuti Dropbox, Adobe, Wikimedia, WordPress, dan Yahoo yang mendapat markah penuh dari yayasan tersebut.
Laporan itu meletakkan lima kriteria kepada syarikat teknologi iaitu sama ada mereka mengikut amalan terbaik untuk keselamatan data, memberitahu pengguna apabila kerajaan memerlukan data, terbuka tentang dasar tentang pengekalan data, mendedahkan apabila kerajaan meminta supaya kandungan dibuang, dan secara terbuka menentang jalan lain yang membolehkan kerajaan mendapat akses mudah kepada data tersebut.