QUEENSLAND - AUSTRALIA . Kumpulan anti-Islam di Australia merancang mengadakan demonstrasi menentang rancangan pembinaan masjid di kawasan Maroochydore, hari ini.
 
Tindakan itu dilakukan selepas projek berkenaan diluluskan kerajaan tempatan, Selasa lalu.
 
Tahun lalu, komuniti Islam di Sunshine Coast membeli bangunan dua tingkat di Church Street dan telah membuat permohonan untuk menjadikannya sebagai sebuah masjid.
 
Susulan itu, kira-kira 200 orang membuat bantahan sambil melaungkan slogan anti-Islam.
 
Bagaimanapun, tindak-tanduk kumpulan terbabit dikecam bekas Perdana Menteri negeri Queensland ketika itu, Campbell Newman dan pemimpin pembangkang Annastacia Palaszczuk.
 
Sementara itu, Datuk Bandar Sunshine Coast, Mark Jamieson menjelaskan, permohonan oleh komuniti Islam berkenaan memenuhi syarat yang diperlukan.
 
"Saya sedar akan ada bantahan daripada penduduk setempat namun saya mahu menegaskan, kami dipilih bukan untuk menghalang kebebasan masyarakat di Australia," katanya.
 
Difahamkan, kelulusan itu adalah tertakluk kepada beberapa syarat antaranya mengehadkan bilangan jemaah serta tidak menimbulkan pencemaran bunyi. - ABC