SEPANG - Ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam disambut laungan "Hidup Tan Sri" dan "Selamatkan Malaysia" ‎oleh penyokongnya, semalam.
 
‎Lebih 100 penyokong Muhyiddin turut menyambut ketibaan beliau di Balai perlepasan pada jam 9.30 malam.
 
Muhyiddin sebelum ini dilaporkan bercuti di Australia.
Sebaik tiba di Balai Perlepasan, Aras 5, KLIA, Muhyiddin kelihatan tenang dan hanya melemparkan senyuman kepada pihak media.
 
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila video ucapan beliau dalam satu mesyuarat tertutup bersama kepimpinan politik lain dalam satu kursus politik yang tersebar di internet.
 
Dalam video tersebut, beliau menyatakan pendiriannya supaya ahli lembaga pengarah One Malaysia Development Berhad (1MDB) harus dipecat.
 
Sementara itu, memetik laporan sebuah portal berita, menteri-menteri Kabinet telah menghadiri suatu perjumpaan tertutup, dipercayai berhubung isu 1MDB, di Majestic Hotel, semalam.
 
Antara menteri yang hadir termasuklah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
 
Turut kelihatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel dan Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.
 
Laporan itu dipetik, Majestic Hotel, yang juga menyaksikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk acara yang berlainan, dikawal ketat oleh pihak polis.