NEGARA sebelum ini dikejutkan laporan dua media, Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang mendedahkan mengenai penyelewengan membabitkan RM2.6 bilion dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 3 Julai lepas, WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
1MDB juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri.
Ternyata dakwaan itu memberi kejutan kepada seluruh rakyat selain menjadikan Malaysia kembali tumpuan dunia seusai tragedi MH370 danMH17 mulai kurang mendapat liputan media.
Tampil bertindak, pihak berkuasa mengambil langkah tepat dengan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan yang dikemukakan.
Daripada menutup akaun bank individu yang didakwa terlibat dalam penyelewengan tersebut, hinggalah kepada serbuan pejabat 1MDB dilakukan oleh pihak berkuasa.
Terbaharu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut terpalit dengan kontroversi dan didakwa dana milik 1MDB berjumlah RM2 juta dimasukkan ke dalam akaunnya seperti mana dilaporkan Sarawak Report dan kemudiannya dilaporkan pula oleh WSJ secara meluas.
Bagi memastikan sisatan dijalankan secara komprehensif, Pasukan Petugas Khas itu yang diluluskan Parlimen, diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan dibantu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ditubuhkan.
Bagaimanapun, setelah beberapa ketika meneliti ‘kesungguhan’ WSJ melaporkan setiap gerak perjalanan isu 1MDB, timbul beberapa persoalan. Apa agenda WSJ sebenarnya?
Tinjauan Sinar Online ke atas profil media ini menerusi laman Wikipedia mendapati, akhbar ini sudah berusia 126 tahun ini diterbitkan oleh Dow Jones & Company; yang kemudiannya diambil alih oleh News Corporation.
Menyelak latar belakang media antarabangsa ini, WSJ kini menjalankan operasi di ibu pejabatnya di New York, Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai edisi Asia dan Eropah.
Untuk rekod, WSJ sebelum ini pernah dikritik hebat oleh Gabenor Wisconsin, Scott Walker yang menyifatkan portal berkenaan terlalu lantang mengkritik realiti undang-undang imigresen negara itu.
Dalam satu temu bual yang disiarkan oleh sebuah portal antarabangsa pada April lalu, Walker dipetik sebagai berkata, pandangannya terhadap undang-undang imigresen dan kewarganegaraan AS amat mudah dan media seperti WSJ ‘tidak tahu apa-apa ‘ dalam undang-undang imigresen.
“WSJ mempunyai tanggapan yang sangat salah terhadap saya dan undang-undang imigresen. Kedudukan saya di sini adalah mudah, negara perlu mempunyai sempadan yang selamat dari dilintasi oleh sesiapa secara haram,” tegasnya.
Beliau malah mengulangi pendiriannya terhadap pendatang haram yang ditangkap di negara tersebut.
Sementara itu, pada tahun 1985, 1989 dan tahun 2008, bekas Presiden Singapura, mendiang Lee Kuan Yew dilaporkan pernah mengambil tindakan undang-undang ke atas agensi berita itu selepas didapati menyebarkan laporan palsu.
Pada tahun 1985, WSJ didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan badan kehakiman Singapura, menyebabkan mereka terpaksa membayar sejumlah pampasan.
Pada tahun 1989, portal itu sekali lagi terlibat dengan saman fitnah yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap mahkamah dan institusi kehakiman, menyebabkan mereka terpaksa membayar pampasan kepada beliau.
Pada September tahun 2008, WSJ sekali lagi tewas dalam saman yang dikenakan ke atasnya, menyebabkan portal tersebut terpaksa membayar S$25,000 (RM70,175.80) kepada Kuan Yew.
No comments:
Post a Comment