KEHILANGAN pesawat MH370 turut mendapat perhatian negara India, apabila satu ukiran pasir bertemakan jet penumpang tersebut dihasilkan di Pantai Puri, kira-kira 65 kilometer dari Bhubaneswar pada 14 Mac tahun lalu. AFP
SYDNEY 24 Julai – Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berikrar pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi sejak 8 Mac tahun lepas akan ditemukan dalam tempoh setahun.
Laman web Ekspress melaporkan, pegawai biro tersebut yang mengetuai operasi mencari pesawat berkenaan, Martin Dolan melahirkan keyakinan bangkai pesawat berkenaan akan ditemukan tidak lama lagi.
“Apabila kami mulakan operasi dan mendefinisikan kawasan mencari, jelas operasi ini akan memakan masa dalam tempoh dua tahun.
“Kami masih yakin pesawat itu akan dijumpai menjelang tahun depan,’’ katanya.
Beliau berkata, semua analisis yang telah dilakukan menempatkan pesawat MH370 berkenaan dalam zon mencari tersebut.
“Kami tiada maklumat lain yang membenarkan kami untuk melibatkan kawasan lain dan kerajaan menerima keputusan ini,’’ katanya.
Misi pencarian setakat ini telah meliputi separuh daripada zon seluas 120,000 kilometer persegi dengan operasi di baki kawasan tersebut dijangka dilakukan pada tahun depan.
Terdapat sejumlah teori menyatakan lokasi pesawat tersebut hilang termasuk di Teluk Bengal selepas penduduk Maldives melihat sebuah pesawat terbang rendah ketika kehilangan pesawat MH370.
Bagaimanapun, Dolan menolak semua teori berkenaan dan menyatakan semua maklumat menunjukkan pesawat MH370 berada di zon kawasan pencarian.
Kehilangan pesawat Boeing 777 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hari ini memasuki hari ke-500.
No comments:
Post a Comment