WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Laporan terbaharu mendedahkan pembayar cukai Amerika Syarikat (AS) terpaksa menanggung kos AS$4 juta (RM15 juta) sejam ketika operasi ketenteraan diketuai tentera negara itu dilancarkan di Afghanistan.

Hasil kajian dilakukan Pertubuhan bukan kerajaan, National Priorities Project (NPP) ke atas bajet persekutuan dan perbelanjaan tentera AS mendapati hampir AS$715 bilion (RM2.7 trilion) telah dibelanjakan untuk pencerobohan di Kabul sejak 2001.

"Kos perang tersebut agak mengelirukan kerana ia tidak merangkumi perakaunan penuh melibatkan kesemua kos perang itu termasuk perbelanjaan penjagaan perubatan untuk anggota dan veteran yang cedera.

"Tambahan pula, bajet itu tidak termasuk bayaran faedah ke atas hutang negara," jelas laporan itu.

Menurut laporan tersebut lagi, kos untuk seorang anggota yang dikerah ke Afghanistan pula dianggarkan AS$1 juta (RM4 juta) setahun, satu angka jauh lebih tinggi daripada anggaran AS$390,000 (RM1.5 juta) yang dibuat penyelidik Kongres pada 2006. - Press TV 

Sementara itu, pakar ekonomi di Harvard, Linda Bilmes berpendapat misi ketenteraan di Iraq dan Afghanistan telah menjadi operasi termahal dalam sejarah AS.