Thursday, July 16, 2015

Tubuh parti baharu adalah golongan kecewa - PAS Terengganu

KHAMIS, 16 JULAI 2015 @ 12:46 PM

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyifatkan bekas pemimpin kanan parti yang terbabit dengan penubuhan Parti Gerakan Harapan Baru, sebagai orang yang kecewa dan tidak berjiwa besar kerana tidak dipilih dalam Muktamar PAS Jun lalu.

 Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat, berkata berdasarkan pemerhatiannya tiada muka baharu dalam barisan pimpinan Parti Gerakan Harapan Baru cuma terdiri daripada bekas pemimpin PAS dan muka-muka lama saja.

"Alasan yang diberikan untuk penubuhan parti itu tiada hujah yang konkrit melainkan sekadar hanya ingin menjadi pemimpin, jika mahu tumbangkan Barisan Nasional (BN), lebih baik mereka menyertai DAP atau PKR saja.

 "Kewujudan mereka itu nanti hanya akan menyebabkan pertembungan tiga penjuru iaitu antara PAS, BN dan parti baharu itu bahkan mereka akan menjadi penyebab kepada kemenangan BN dan mengecewakan hasrat (PAS) untuk melihat BN tewas pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat beberapa pemimpin PAS yang mahu menubuhkan parti baharu itu yang dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.

Satiful Bahri menyifatkan tindakan untuk menubuhkan parti baharu dan berusaha menarik keluar anggota PAS, memfitnah dan memberi pelbagai alasan, hanya menzahirkan tindakan khianat kepada PAS. "Semasa menjadi calon mereka ini sudah melafazkan sumpah baiah dan sepanjang sejarah PAS, mereka yang khianat tidak akan ke mana-mana dalam hidup mereka. "PAS tidak akan berundur. Kita akan tetap bertanding tanpa mempedulikan parti baharu itu bahkan di kerusi dimenangi DAP sebelum ini kerana tahaluf siyasi (kerjasama politik) antara PAS dan DAP sendiri sudah terbatal," katanya.

 Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selaku pengerusi jawatankuasa penaja parti baharu itu mengumumkan pelancaran parti baharu itu pada Isnin lalu. Antara anggota jawatankuasa interim parti itu ialah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/68383

2 comments:

  1. Errrrr..... Nk tnya skit.... Kumpulan yg buat senarai chai tu...APA pulak namanya yea

    ReplyDelete
  2. Errrrr..... Nk tnya skit.... Kumpulan yg buat senarai chai tu...APA pulak namanya yea

    ReplyDelete