Pejabat Peguam Negara Switzerland membuka kertas siasatan berhubung 1MDB, kata seorang jurucakap di Zurich semalam.
Agensi pelaburan milik negara yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak itu juga sedang disiasat pihak berkuasa Malaysia atas dakwaan salah urus kewangan serta rasuah.
Jurucakap pihak berkuasa di Zurich berkata, prosedur siasatan jenayah dibuka pada 14 Ogos lalu.
"Siasatan dibuat terhadap dua entiti 1MDB serta seorang individu tidak dikenali," katanya dalam satu emel.
Katanya, kes itu membabitkan "pegawai awam asing yang dipercayai melalukan rasuah, penyelewengan kepentingan awam dan pengubahan wang".
"Prosedur itu dimulakan ekoran dua komunikasi daripada Pejabat Aduan Pengubahan Wang di Switzerland," katanya.
Berita siasatan itu mula-mula dilaporkan akhbar negara itu, Le Temps.
Sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang kewangan Switzerland pada Rabu lalu berkata, mereka sedang menyemak sama ada beberapa bank di negara itu menjalankan urusan perniagaan dengan 1MDB.
No comments:
Post a Comment