Monday, August 3, 2015

"Tiada Sesen Wang Derma Pilihan Raya Masuk Dalam Akaun Saya" – Tun M


Diterbitkan: Isnin, 3 Ogos 2015 3:17 PM

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada satu sen pun dari wang derma untuk pilihan raya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sepanjang beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Bekas perdana menteri itu menegaskan sepanjang beliau berkhidmat sebagai perdana menteri dan presiden Umno tiada sejumlah wang untuk kegunaan pilihan raya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan menyifatkan jika ada pihak yang menuduh sedemikian ia adalah fitnah dan tidak berasas.
“Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihan raya yang dimasuk dalam akaun saya. Saya bersedia membenarkan semua akaun peribadi saya selama 22 tahun saya menjadi perdana menteri diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuan saya ini atau sebaliknya,” katanya menerusi blognya, chedet.ccpada Isnin.
Mahathir berkata, semasa beliau menjadi presiden Umno, beliau merupakan antara tiga pemegang amanah yang akan menandatangani buku cek bagi pihak parti.
“Semua derma, terutama semasa pilihan raya dimasukkan dalam akaun ini. Dua dari mana-mana tiga pemegang amanah diberi kuasa untuk mengurus akaun ibu pejabat dan menandatangani cek apabila mengeluarkan wang. Pemegang amanah ini juga dinamakan sebagai pemilik saham-saham dan hartanah milik Umno.
“Bila saya letak jawatan sebagai presiden, saya telah arah wang tunai lebih RM200 juta dan saham-saham bernilai lebih RM1.2 bilion diserahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pula,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai pilihan raya 1964 dan 1969, yang mana Dr Mahathir mengaku dan menjelaskan bahawa wang tunai berjumlah RM20,000 telah diserahkan kepada beliau oleh Ibu Pejabat parti untuk diagih kepada calon-calon kawasan parlimennya dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kerana saya tidak sanggup simpan wang tunai dengan jumlah yang besar ini, saya masukkannya dalam akaun saya dan saya keluarkan cek kepada jawatankuasa pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mengikut agihan yang ditentukan oleh ibu pejabat. Wang ini bukan dari penderma tetapi ini adalah wang Umno yang memang pun diberi kepada bahagian untuk kegunaan calon.
“Semasa saya disingkir dari parti pada 1970, Lembaga Hasil Dalam Negeri telah datang mengeledah rumah dan klinik saya. Mereka jumpa cek yang telah dikeluarkan oleh saya dan mereka mendakwa saya tidak lapor pendapatan saya sepenuhnya,” katanya sambil menambah yang beliau telah dikenakan denda RM130,000 kerana tidak melaporkan mengenai cek RM20,000 berkenaan.
Menurut Mahathir, terdapat sedikit perbezaan antara wang tunai RM20,000 yang diterima beliau dan cek sebanyak AS$700 juta atau RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas perdana menteri itu berkata, tiada banyak wang yang digunakan jika disemak perbelanjaan pilihan raya sebanyak lima kali yang diadakan semasa menjadi presiden Umno namun Barisan Nasional menang majoriti di parlimen.
“Jika sekarang Umno perlu RM2.5 billion  untuk pilihan raya, ia tetap melanggar aturan peraturan dan undang-undang pilihan raya. Akaun perbelanjaan pilihan raya tiap seorang calon perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan ada had siling.
“Adalah salah jika ia melebihi jumlah tertentu. Saya mohon maaf jika peraturan ini sudah digugur. Ia diadakan untuk mengelak dari rasuah berlaku,” katanya.
Mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Mahathir, beliau tidak mahu mempersoalkan dari mana sumber AS$700 juta itu dan akan menunggu laporan akhir Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Soal yang saya ingin tanya adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri telah bertindak dengan kuasa yang diberikan ke atas wang sebanyak RM2.6 bilion itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment