Nasrudin Hassan Nasrudin Hassan

1. TUNTUTAN Bersih untuk reform sistem demokrasi dan pilihan raya negara adalah disokong oleh Pas tanpa berbelah bahagi. Malah Pas telah menganjur dan menyertai pelbagai bentuk himpunan sebelum ini.

Bukan hanya dalam bentuk anjuran bersama Bersih, tetapi juga pelbagai isu yang menyentuh kepentingan ummah. Pas hanya berbeza pendekatan pada kali ini. Kebetulan Pas mempunyai komitmen yang tinggi terhadap beberapa program penting yang dianjur dalam tempoh ini.

2. Namun insiden memijak gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam himpunan Bersih 4.0 adalah suatu yang sangat memalukan. Perbuatan itu adalah KOTOR dan sangat biadap serta kurang ajar, sementelah tiada jenayah dan perbuatan yang melayakkan perbuatan sebegitu itu dilakukan ke atas Abdul Hadi.

3. Kami mendesak supaya mereka yang bertanggungjawab tampil memohon maaf secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan provokatif sedemikian. Terlebih wajar jika pihak penganjur Bersih mengambil tanggungjawab bagi membukti mereka tidak merestui perbuatan KOTOR sebegitu justeru membenci dan memusuhi Abdul Hadi bukanlah sasaran yang termaktub dalam tuntutan Bersih.

4. Ia adalah satu tragedi malang yang memapar standard akhlak dan moral pihak terbabit terlalu sangat rendah dan hina. Poster yang diedit sedemikian rupa dengan memaparkan Abdul Hadi berpelukan dengan Datuk Seri Najib kononnya mahu menggambarkan Pas seperti bersekongkol dengan Umno dan BN. Ini  juga merupakan satu fitnah yang jahat.

5. Perbuatan itu tidak boleh dipandangan ringan. Selain ia adalah perbuatan menghina maruah, ia juga merupakan satu tindakan yang melebarkan kebencian dan permusuhan. Sekaligus memperlihatkan kepada dunia perangai KOTORnya yang amat memalukan.


NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan Pas