Wednesday, October 21, 2015

Bilionair Russia setuju selesai perceraian bernilai RM18 bilion


pemilik kelab bola sepak Perancis, Dmitry Rybolovlev. - Foto AP
GENEVA: Hartawan Russia yang juga pemilik kelab bola sepak Perancis, Dmitry Rybolovlev, mencapai persetujuan dengan bekas isterinya, Elena untuk menyelesaikan perceraian mereka yang disifatkan termahal dalam sejarah.
Pada Mei 2014, mahkamah Switzerland memberi lebih empat bilion franc Switzerland (RM18 bilion) kepada Elena Rybolovlev, bersamaan nilai separuh harta bekas suaminya, dalam perceraian mereka yang ketika itu dilabel 'perceraian paling mahal abad ini'.
Pasangan itu, dalam satu kenyataan bersama kelmarin berkata mereka mencapai persetujuan mengenai syarat perceraian, dalam langkah yang disifatkan 'meletakkan noktah terhadap semua prosedur perundangan yang dilancarkan dalam bidang kuasa berasingan.'
Kenyataan bagaimanapun tidak menyebut jumlah yang dipersetujui. Perjanjian itu dibuat selepas mahkamah rayuan Geneva pada Jun lalu membatalkan arahan tahun 2014, menurunkan bayaran yang diminta daripada pemilik kelab bola sepak AS Monaco itu kepada 564 juta franc Switzerland (RM2.5 bilion) selain dua bangunan hartanah.
Antara punca perbalahan adalah kekayaan Rybolovlev, ketika beliau memindahkan saham pada tahun 2005 kepada sebuah dana dan kemudian menjualnya tiga tahun kemudian dengan keuntungan besar.
Pasangan itu berkahwin di Cyprus dan tinggal bersama selama 23 tahun, namun berbalah berhubung syarat perceraian sejak tahun 2008. - AGENSI

No comments:

Post a Comment