Wednesday, October 21, 2015

Korea Utara Mahu Rundingan Damai Dengan Amerika Syarikat


Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2015 10:43 AM

KUALA LUMPUR: Korea Utara mengulangi saranan agar Amerika Syarikat mengkaji semula apa yang disifatkan sebagai 'dasar bermusuh' dengan Pyongyang.
Ia turut mahu diadakan rundingan perjanjian damai antara kedua-dua pihak bagi membawa kepada keamanan berkekalan di Semenanjung Korea.
Dutanya ke Malaysia, Kang Chol berkata pencapaian perjanjian damai bagi menggantikan perjanjian genjatan senjata sedia ada perlu diberi keutamaan.
"Sekiranya kita menyelesaikan masalah ini, isu-isu lain boleh diselesaikan dengan mudah. Ini pendirian kami.
"Jika Amerika Syarikat tidak mengkaji semula dasar permusuhan dan mencapai perjanjian damai dengan kami, kami tidak boleh menghentikan program senjata nuklear kami," katanya.
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebelum ini dlapor sebagai berkata Washington bersedia mengadakan rundingan yang boleh mengurangkan sekatan ke atas Korea Utara jika sekiranya Pyongyang menunjuk keseriusan dalam menamatkan program senjata nuklearnya.
Duta berkenaan berkata adalah tidak betul untuk membandingkan situasi Korea Utara dengan Iran yang mencapai perjanjian dengan kuasa-kuasa besar pada Julai lalu dalam menangani program nuklearnya.
"Kami adalah negara nuklear, kami telah mempunyai akses kepada senjata nuklear, tetapi Iran bukan negara nuklear, jadi ia agak berbeza," jelasnya.
Kang Chol turut menekankan bahawa sebarang perjanjian di masa depan yang melibatkan negaranya mengenai isu nuklear perlu dipatuhi dengan tegas, tidak seperti yang dialami Pyongyang di masa lalu.
Beliau berkata sekiranya Amerika Syarikat terus tidak menghiraukan seruan Pyongyang untuk menjalin perjanjian damai, ia akan berupa isyarat bahawa Washington tidak mempunyai niat untuk mengkaji semula dasar permusuhannya ke atas Republik Demokratik Rakyat Korea.

No comments:

Post a Comment