Seorang wanita yang prihatin menghulurkan derma kepada ibu tiga anak itu di luar sebuah stesen kereta api di selatan China, baru-baru ini. AGENSI
BEIJING 30 Sept. - Akibat desakan hidup, seorang ibu muda dari wilayah Guangzhou, di China, sanggup menyerahkan tiga orang anaknya secara percuma kepada mana-mana individu yang boleh menjaga mereka.
Tambah menyedihkan, detik wanita tersebut berdiri di luar stesen kereta api bawah tanah di sebuah bandar di selatan negara ini bersama anak-anaknya, sempat dirakam orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.
Wanita berusia 25 tahun itu mendakwa, dia ditinggalkan oleh suaminya baru-baru ini, sehingga terdesak kerana tidak mempunyai rumah dan wang untuk menyara anak-anak kecilnya.
Daily Mail melaporkan, seorang anaknya juga dipercayai sakit dan dia tidak mempunyai duit mencukupi untuk mengubati kanak-kanak tersebut.
Ibu muda itu dipercayai datang dari Hunan dan telah ditinggalkan oleh suaminya bersama tiga anak yang berumur antara enam bulan hingga tiga tahun.
Orang ramai yang lalu-lalang terkejut melihat wanita tersebut, apatah lagi tiga orang anak kecilnya yang tidak berbaju serta diikat menggunakan kain ke pinggangnya bagi mengelakkan mereka berlari.
Mereka yang bersimpati dengan wanita dilihat memberikan derma.
Perbuatan wanita malang itu menarik perhatian seorang anggota polis yang cuba menyiasat latar belakangnya kerana di China banyak berlaku kes penyeludupan manusia.
Dia bagaimanapun menunjukkan dokumen surat kelahiran serta identiti dirinya bagi membuktikan dia bukan sebahagian daripada sindiket pemerdagangan manusia.
Polis itu dilihat cuba menasihatinya untuk mendapatkan khidmat kebajikan masyarakat, namun ditolak sebelum dia bergegas meninggalkan tempat tersebut.
No comments:
Post a Comment