Monday, October 26, 2015

Pelawak mungkin presiden baru Guatemala


Guatemala City: Seorang bekas pelawak televisyen yang tidak mempunyai pengalaman politik dijangka memenangi pilihan raya presiden yang diadakan semalam selepas skandal rasuah menyebabkan pemimpin sebelum ini tumbang.

Dengan menggunakan status ‘orang luar’ dan janji untuk mewujudkan sebuah kerajaan bersih, populariti Jimmy Morales, 46, meningkat mendadak sejak skandal rasuah berjumlah jutaan dolar memaksa peletakan jawatan dan penangkapan Presiden Otto Perez.


Kajian menunjukkan Morales dengan mudah akan mengalahkan bekas wanita pertama Sandra Torres yang juga berikrar untuk menangani rasuah.

Bagaimanapun, Sandra dilihat oleh kebanyakan rakyat Guatemala sebagai wakil orde lama.

Morales sebelum ini pernah terbabit dalam rancangan lawak selama 14 tahun.

Bagaimanapun, beberapa pihak bimbang jika dia menang kerana ideanya dianggap khayalan, termasuk memaksa guru memakai GPS bagi memastikan mereka berada di kelas untuk mengajar.

Manifestonya hanya enam muka surat, tanpa menjelaskan bagaimana dia akan memerintah. Parti Barisan Penumpuan Kebangsaan yang diketuainya hanya mempunyai 11 daripada 158 kerusi di Parlimen.

“Dia tidak ada rancangan dan tidak ada pasukan,” kata penganalisis politik Guatemala Hugo Novales.

Sebahagian rakyat juga bimbang dengan kemenangan pelawak itu yang berjanji untuk memberikan telefon pintar kepada pelajar dan membangkitkan semula pertikaian wilayah dengan negara jiran Belize.

Morales menang pusingan pertama pada 6 September lalu tetapi meraih kurang 50 peratus undi untuk mengelak pilihan raya semula. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:04 AM

MORALES ketika berkempen di Guatemala City Khamis lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88142#sthash.7twNrofl.dpuf

No comments:

Post a Comment