Monday, November 2, 2015

Bantuan: Mualaf Pilih FB, Serik Birokrasi Agensi Kerajaan


Diterbitkan: Isnin, 2 November 2015 8:00 AM
Alwi bersama isteri dan tiga anaknya yang masih kecil.

PETALING JAYA: Serik dengan prosedur untuk memohon bantuan yang didakwa rumit, seorang mualaf tiada pilihan melainkan meraih simpati melalui laman media sosial Facebook.
Alwi Chan Abdullah, 31, terpaksa mengenetepikan perasaan malu dan meminta bantuan rakan-rakan di Facebooknya bagi menampung kos pembedahan dan perubatan anak bongsunya, Danial Oktavian Chan yang kini baru berusia lebih sebulan sebanyak RM3,600.
Beliau yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah warung di Gombak, Selangor mendakwa anaknya itu perlu menjalani pembedahan kecil pada jantung.
Menurut Alwi, sejak dilahirkan pada 16 September lalu, anak bongsunya itu sering keluar masuk Hospital Ampang kerana keadaan jantungnya yang lemah.
Malah dengan gaji kira-kira RM1,800 sebulan, beliau tidak mampu membayar kos rawatan kerana perlu menyara isteri dan tiga anaknya yang lain yang masing-masing berusia sembilan, empat dan tiga tahun.
"Saya serik berurusan dengan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), sebab itu saya terpaksa minta bantuan rakan-rakan di Facebook.
"Saya terpaksa buat begitu kerana anak saya perlu segara dibedah. Ia melibatkan hidup dan mati anak bongsu saya. Saya tak boleh nak tunggu macam proses bantuan sewa rumah sebelum ini. Nyawa anak jadi keutamaan saya," katanya kepada mStar Online.
Lelaki yang berasal dari Johor Baru itu berkata, hasil sumbangan orang ramai, akhirnya pembedahan tersebut berjaya dilakukan.
"Walaupun ada yang mengecam tindakan saya, alhamdulillah, dalam masa empat hari saya berjaya memperoleh sumbangan sebanyak RM4,300. Ia lebih daripada yang diperlukan untuk membiayai kos rawatan tersebut.
"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di Facebook. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mereka.
"Baki duit sumbangan itu saya sedekahkan ke masjid, macam yang pernah saya janjikan sebelum ini," katanya.
Danial Oktavian Chan Alwi Chan.
Menurut Alwi, beliau pernah ke Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP di Taman Sharmelin Perkasa, Cheras untuk bertanya mengenai cara-cara memohon bantuan kos rawatan anaknya itu.
Namun, katanya, maklum balas yang diterima daripada kakitangan di PPZ berkenaan agak mengecewakan.
"Saya ke sana untuk bertanya proses bantuan. Belum sempat saya isi borang, kakitangan di sana meminta saya ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana saya menetap di Selangor," katanya.
Alwi berkata, dia kemudiannya pergi ke LZS dengan bantuan rakannya tetapi kakitangan di sana pula mengarahkannya supaya berurusan dengan PPZ MAIWP kerana pernah mendapatkan bantuan daripada Baitulmal MAIWP sebelum ini.
"Saya jadi keliru apabila kedua-dua pihak tidak membantu memudahkan urusan permohonan tersebut. Seorang kata perlu ke Selangor dan kakitangan di Selangor pula suruh teruskan bantuan dengan MAIWP. Itu yang menyebabkan saya berputus-asa untuk meneruskan proses tersebut," katanya.
Malah, beliau berkata, sehingga hari ini masih tiada jawapan kepada proses permohonannya itu.
Terdahulu, Alwi sekeluarga pernah tinggal di Rumah Transit Baitulmal MAIWP di Taman Pelangi, Sentul selama dua bulan pada awal Jun lalu selepas 'dibuang' keluarga kandungnya sebaik sahaja mengetahui mereka sekeluarga memeluk Islam.
Alwi sekeluarga diberi satu bilik di rumah transit tersebut dengan wang RM50 untuk perbelanjaan seminggu dan dibenarkan tinggal di sana selama dua bulan.
Namun, pada masa sama mereka diarah mencari rumah sewa dan memaklumkan kepada Baitulmal selepas memperoleh rumah sesuai untuk proses kelulusan bagi mendapatkan deposit rumah yang akan disewa.
"Tetapi, bila kita dah cari rumah, sewa rumah pula katanya terlalu mahal.
"Tambahan pula prosedurnya terlalu rumit dengan bermacam-macam alasan diberikan, jadi proses untuk kami pindah ke rumah sewa baharu menjadi lambat. Saya jadi buntu," katanya.
Kecewa dengan proses tersebut, Alwi turut bertindak memohon pertolongan bagi mengumpul deposit rumah sewa baharu daripada rakan-rakan dan kenalannya di Facebook.
"Saya tiada pilihan melainkan meminta bantuan di Facebook. Saya terpaksa berbuat demikian kerana terdesak. Lagipun tempoh untuk tinggal di rumah transit Baitulmal sudah berakhir. Tak eloklah bila kami sering diingatkan supaya cari rumah sewa baharu," katanya.
Tidak lama kemudian, posting Alwi menjadi viral di media sosial dan 'bantuan' akhirnya diperolehi dalam masa yang singkat.
"Saya dibantu oleh seorang hamba 'Allah'. Akhirnya kami dapat berpindah ke rumah baharu yang terletak di Selayang. Saya bersyukur kepada Allah kerana sentiasa mendengar doa hambaNya," katanya.
Walaupun masalah mereka sekeluarga sudah selesai, lelaki  itu berharap pihak Baitulmal mengkaji semula proses pengagihan zakat kepada golongan asnaf yang memerlukan supaya setiap urusan menjadi lebih mudah dan efisyen.
"Saya pasti ramai mualaf tidak tahu mengenai bantuan yang layak mereka terima. Jadi kami patut dimaklumkan mengenai hak-hak kami. Bukan kami mahu mengambil kesempatan tetapi ia penting sekiranya kami ditimpa kesulitan.
"Dalam tempoh bergelar mualaf, saudara baru seperti kami pastinya berdepan pelbagai masalah. Kami yang masih 'baharu' ini masih belum cukup kuat untuk menghadapi dugaan besar ini. Jadi sekurang-kurangnya pada waktu sukar ini, Baitulmal lah tempat kami 'bergantung' untuk seketika," katanya.
Info:
MUALAF atau saudara baharu adalah antara lapan asnaf yang berhak mendapat pelbagai bantuan yang disalurkan majlis agama Islam setiap negeri, terutama zakat.

Antara bantuan yang diberikan meliputi sumbangan awal ketika memeluk Islam dan bantuan berterusan mengikut keperluan asnaf bagi tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, jenis-jenis bantuan yang ditawarkan berbeza di setiap negeri.

Misalnya di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bantuan saguhati Hari Raya, bantuan kewangan bulanan, elaun kehadiran kelas agama asas, bantuan sewa rumah, dermasiswa mualaf, bantuan perkahwinan dan bantuan umum pelajaran kepada golongan ini.

Selain itu, saudara baru juga boleh memohon bantuan pembinaan rumah individu, saguhati galakan saudara baharu, bantuan modal, bantuan perubatan mualaf, kursus dan latihan, pembinaan rumah berkelompok, pengurusan jenazah dan bantuan berkhatan.

Bagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, beberapa bantuan lain seperti depositi sewa beli teksi, biasiswa Baitulmal/insentif khas pelajar cemerlang, galakkan hafaz Al-Quran, deposit van/bas sekolah, guaman syarie dan bantuan pelajaran Kolej Kejururawatan Pusrawi turut disediakan.

Umumnya, ada di kalangan mualaf yang menjalani kehidupan mencabar termasuk disisih keluarga kandung, malahan ada yang merempat. Bagaimanapun, tidak semua saudara baru ini berhadapan masalah.


ASNAF adalah pihak yang layak menerima bantuan zakat daripada umat Islam iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, ar-riqab, al-gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

*Fakir-berharta, pekerjaan atau pendapatan daripada sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan tanggungan.

*Miskin - mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasi tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan tanggungan.

*Amil - terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk memungut dan agih.

*Mualaf - memeluk agama Islam. Juga dikenali sebagai saudara baharu.

*Al-Riqab - memerdekakan umat Islam daripada perhambaan.

*Al-Gharimin - berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri dan tanggungan.

*Fisabilillah - melibatkan diri dalam aktiviti untuk mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam.

*Ibni Sabil - dalam perjalanan bagi maksud yang dibenarkan syarak dari negeri atau negara yang memerlukan bantuan.

No comments:

Post a Comment