PETALING JAYA: James (bukan nama sebenar) yang memeluk Islam pada 2012 mendakwa tidak mengetahui tentang kewujudan bantuan zakat yang boleh dipohon oleh mereka yang baru memeluk Islam.
Sebaik sahaja mengetahui tentangnya, dia berpandangan maklumat tentang bantuan dan wang zakat itu sepatutnya sampai kepada setiap saudara baru dalam Islam.
Katanya, sama ada mereka berminat untuk mendapatkan atau tidak, ia terpulang kepada empunya diri kerana apa yang penting adalah maklumat ringkas tentang bantuan telah diberikan oleh jabatan agama - badan yang perlu memaklumkan kepada pihak zakat mengenai saudara baru.
Walaupun tidak menganggap isu ini sebagai besar untuk dirinya, dia sedar terdapat rakan saudara baru yang lain akan berfikir sebaliknya.
"Selepas mengucap dua kalimah syahadah, saya menjalani kehidupan seperti biasa sebagai seorang Muslim tanpa berfikir tentang bantuan.
"Saya bernasib baik kerana keputusan saya tidak dihalang keluarga, rakan-rakan sekeliling turut memberi sokongan, malah saya juga tiada masalah wang," katanya kepada mStar Online.
James bagaimanapun sedar tidak semua orang beruntung seperti dirinya dan berharap mereka yang mempunyai masalah selepas memeluk Islam dibantu secara serius olej jabatan agama dan bukan sekadar 'melepaskan batuk di tangga'.
"Saya mungkin tak perlukannya, malah mungkin tak perlu tahu tentangnya.
"Tetapi bagaimana dengan mereka yang benar-benar susah dan terhimpit. Sudah tentu mereka memerlukan seseorang atau tempat untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Katanya, tidak semua mereka yang bergelar mualaf itu mahukan bantuan, tetapi sekurang-kurangnya tahu mengenai bantuan yang menjadi hak mereka.
"Saya rasa kalau mereka tak terdesak, mereka tak akan memohon, malah tidak akan terfikir langsung tentangnya (bantuan).
"Jadi saya fikir mereka yang memohon itu amat terhimpit. Jadi, setiap permohonan wajar diambil perhatian. Masalah keciciran tidak sepatutnya berlaku," katanya.
James berkata, kesusahan hidup yang dialami kerana seseorang itu memeluk Islam berbeza dengan kesusahan kerana faktor lain kerana menukar agama adalah satu pengorbanan besar dalam kehidupan.
"Ada yang berdepan dugaan dan diuji, saya harap mereka tidak diabaikan," katanya.
No comments:
Post a Comment