Wednesday, November 11, 2015

Perubahan iklim ancam 100 juta penduduk jadi miskin tegar




Gambar hiasan - SEORANG pekerja meleraikan kereta lama di Bangalore, India.


WASHINGTON – Perubahan iklim akan menyebabkan seramai 100 juta lagi penduduk menjadi miskin tegar menjelang 2030 jika dunia gagal bertindak, kata Bank Dunia dalam amarannya.
Dalam sebuah laporan bertajuk Shock Waves: Managing the Impacts of Climate Change on Poverty yang disiarkan di Washington, Bank Dunia memberitahu bahawa penduduk miskin berisiko tinggi mendapat kejutan daripada gelombang perubahan iklim du­nia termasuk tanaman tidak menjadi akibat kekura­ngan hujan, harga makanan melonjak selepas peristiwa cuaca ekstrem dan peningkatan jangkitan penyakit disebabkan gelombang panas serta banjir.
Kejutan akibat perubahan iklim dunia itu boleh mendatangkan kerugian besar dan menyebabkan beberapa kawasan terutamanya di Afrika dan Asia Selatan kembali ke dalam dunia kemiskinan.
Beberapa kajian berpandukan model cuaca mendapati hasil tanaman global diramalkan merosot sebanyak lima peratus menjelang 2030 dan 30 peratus menjelang 2080 akibat perubahan iklim sekali gus mening­katkan kadar kemiskinan di seluruh dunia.
Di Afrika yang merupakan rantau paling miskin di dunia, perubahan iklim boleh menyebabkan harga makanan meningkat seba­nyak 12 peratus menjelang 2030 dan 70 peratus menjelang 2080.
“Perubahan iklim menjejaskan penduduk termiskin paling teruk dan cabaran kita sekaran ialah untuk melindungi berjuta-juta orang daripada jatuh ke jurang kemiskinan tegar disebabkan perubahan iklim,” kata Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3r8L328Yp 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment