Monday, November 23, 2015

Trump undang kontroversi



Trump berucap semasa berkempen di Kompleks Sivik Jefferson di Birmingham, Alabama kelmarin. - REUTERS


WASHINGTON – Pendahulu senarai pencalonan Parti Republikan untuk pilihan raya Presiden 2016, Donald Trump dikecam pesaingnya kerana menyokong agar satu pangkalan data diwujudkan bagi mendaftarkan orang Islam di Amerika Syarikat (AS) supaya mereka dapat dikenali dan diawasi.
Bekas Gabenor Florida, Jeb Bush menyifatkan cadangan itu menjijikkan, manakala Senator Florida, Marco Rubio menganggapnya sebagai tidak perlu.
Senator Texas yang sebelum ini mengelak daripada mengkritik Trump sepanjang kempen politik tahun ini, Ted Cruz pula berkata: “Saya bukan peminat cadangan warga AS didaftarkan.
“Perlembagaan AS melindungi kebebasan beragama dan saya menghabiskan masa beberapa dekad dengan mempertahankan kebebasan beragama untuk setiap warga AS,” kata Cruz kepada wartawan di bandar Sioux City, Iowa.
Cadangan pangkalan data itu pertama kali diutarakan Trump dalam satu wawancara bersama portal berita Yahoo News yang disiarkan Khamis lepas.
Ketika ditanya tentang keperluan untuk penduduk Islam didaftarkan dalam sebuah pangkalan data atau memakai tanda pengenalan agama mereka, Trump berkata: “Kita perlu meneliti banyak perkara.”
Bilionair itu diminta mengulas berhubung cadangan pangkalan data tersebut oleh seorang wartawan AS pada hari sama semasa berkempen di Iowa.
Ditanya sama ada sistem pangkalan data perlu diwujudkan bagi menjejaki orang Islam di AS, Trump membe­ritahu: “Ya, saya tentunya akan melaksanakan idea tersebut. Sudah tentu,” kata Trump.
Bilionair itu menambah, beliau akan mewajibkan orang Islam untuk mendaftarkan diri supaya mereka mudah diawasi oleh pihak berkuasa sekiranya terpilih sebagai Presiden AS pada tahun hadapan, manakala proses pendaftaran itu akan dibuat di beberapa lokasi berbeza. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3sGHOkV3K 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment