Sunday, November 22, 2015

Umrah, Panggilan Telefon Kenangan Terakhir Isteri ASP Mior Fahim




Salah seorang anak Allahyarham Asp Mior Fahim menabur bunga ke pusara ayahnya sambil diperhatikan oleh ibunya, Nor Anidah. - fotoBERNAMA
IPOH: Panggilan telefon pagi semalam bertanyakan khabar anak-anak menjadi kenangan perbualan terakhir kepada isteri ASP Mior Fahim Ahmad, yang ditemui mati selepas hilang ketika mandi di air terjun Sungai Tungku, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di Gerik pagi Rabu.

Nor Anidah Ahmad Nawawi, 41, seorang jururawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini juga tidak menyangka perbuatan yang bukan amalan kebiasaan suaminya jika bertugas di luar daerah itu, adalah perbualan terakhir mereka berdua.

"Pada pukul 7.30 pagi semalam, sebelum masuk hutan, suami ada hubungi saya, dia tanya anak-anak pergi sekolah tak, saya pelik, suami sebelum ini bila keluar bertugas tidak pernah telefon. Semalam saya ada 'whatsapp' dia, tapi tak balas," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman ibu mentuanya di Kampung Tersusun Batu Lima di Tambun di sini Rabu.

Lebih menyayat hati, ibadah Umrah yang disertai mereka berdua pada 10 hingga 21 Mei lepas juga menghiasi kenangan terakhir paling manis, katanya.

Beliau berkata apatah lagi apabila Mior Fahim beria-ria menempah jubah berwarna krim semasa mengerjakan umrah untuk dipakai mereka sekeluarga pada Aidilfitri, akhir bulan depan.

"Biasanya dia tak buat tapi di sana dia pergi jumpa tukang jahit, dia agak-agak saiz untuk anak-anak. Memang bila balik rumah, saiz jubah tu elok-elok sesuai untuk anak-anak," katanya.

Nor Anidah berkata perkongsian hidup dengan Mior Fahim diserikan dengan tujuh cahaya mata, empat anak lelaki dan tiga anak perempuan, berusia antara 15 dan dua tahun.

Si isteri juga berkata pada Ahad lepas, suaminya menukar dua buah televisyen termasuk membeli sebuah 'Smart TV' untuk diletakkan di dalam bilik tidur bagi menonton perlawanan Piala Dunia.

"Dia juga nak bawa anak-anak semua pergi bercui ke Sabah, hujung tahun ini, sebab dia kata Sabah tempat dia kerja selama 11 tahun selain mahu bawa saya pergi tunaikan ibadah Haji jika ada rezeki," katanya.

Beliau berkata pada 11.30 malam Selasa, seorang kawan menghubunginya bertanyakan Mior Fahim dan kemudian beliau melayari akaun Facebook (FB) milik suami.

"Saya buka FB suami, saya tengok ada komen-komen yang doakan semoga suami saya selamat dan dijumpai. Anak kedua saya pula buka berita online dan baca berita, dia menangis. Pada tengah malam, ada anggota polis datang rumah dan beritahu suami saya hilang," katanya.

Katanya beliau tidak tidur sepanjang malam Selasa dan berita kehilangan suaminya diberitahu kakak ipar yang berada di Gerik pada 8 pagi Rabu.

Nor Anidah berkata Mior Fahim adalah anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

"Dia juga ada menelefon emaknya sebelum masuk hutan, tapi mak tak dengar sebab ada masalah pendengaran dan mengalami lumpuh," katanya.

Beliau berkata Mior Fahim mula berkhidmat dengan PDRM pada 1995 dan berpengalaman bertugas di Sabah, Johor dan Pahang selain pernah terlibat dalam operasi selama 21 hari menentang penceroboh di Lahad Datu, Sabah tahun lepas.

Jenazah Mior Fahim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun petang Rabu, katanya./mstar

Dipetik dari fb

No comments:

Post a Comment