|
WASHINGTON – Penggabungan dua pengeluar ubat-ubatan, Pfizer dan Allergan untuk mewujudkan farmaseutikal terbesar di dunia bernilai AS$160 bilion (RM686.67 bilion) yang diumumkan kelmarin mencetuskan kemarahan di Washington.
Pemimpin-pemimpin AS menuduh penggabungan itu sebagai ‘inversi’ yang berlaku apabila sebuah firma AS bergabung dengan syarikat asing untuk merendahkan bayaran cukainya.
Penggabungan kedua terbesar dalam sejarah itu berisiko mendatangkan kesan buruk di seluruh dunia termasuk kenaikan tinggi harga ubat selain mendorong penggabungan serupa dalam sektor penjagaan kesihatan dan bidang-bidang lain.
Ia turut dikecam oleh ramai ahli politik AS yang baru-baru ini berang dengan tindakan menaikkan harga oleh pengeluar-pengeluar ubat sehingga melebihi AS$100,000 (RM429,170) setahun.
Perjanjian penggabungan itu membolehkan Pfizer menjimatkan cukai tahunannya yang berjumlah ratusan juta dolar ekoran firma itu akan memindahkan ibu pejabatnya dari AS ke Ireland di mana Allergan beroperasi.
Pfizer yang beribu pejabat di New York dijangka dapat mengurangkan kadar cukainya daripada 25 peratus kepada cuma 18 peratus tahun ini.
Penggabungan inversi sudah lama dikecam sebilangan ahli politik AS sebagai perbuatan mengelak cukai.
Dua pemimpin utama Parti Demokrat, Hillary Rodham Clinton dan Bernie Sanders mengkritik tindakan tersebut.
Clinton berkata, tindakan Pfizer akan membawa kesan buruk kepada pembayar cukai di AS, manakala Sanders memberitahu, penggabungan itu membawa kecelakaan kepada rakyat AS yang membayar harga tinggi untuk kos ubat-ubatan.
Ditanya sama ada penggabungan itu dibuat untuk mengelakkan cukai, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Ian Read berkata, beliau hanya bertanggungjawab kepada pesakit dan pemegang saham syarikat itu.
Penggabungan itu bagaimanapun, perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa AS dan Kesatuan Eropah. Selain itu, ia juga memerlukan kebenaran para pemegang saham kedua-dua syarikat berkenaan.
Pfizer mengeluarkan ubat seperti Viagra, ubat merendahkan kolesterol, Lipitor dan ubat mencair darah, Eliquis, manakala Allergan pula menghasilkan ubat kosmetik, Botox dan Restasis untuk merawat mata kering.
– AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3sRwlELrk
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment